Dua kereta yang terlibat dalam kejadian pokok tumbang di ibu negara petang tadi. Foto JBPM KL

KUALA LUMPUR – Insiden pokok tumbang hingga mengakibatkan kematian yang berulang setiap kali musim hujan di ibu negara perlu dipandang serius dengan penekanan kepada aspek penyelenggaraan dan pemeriksaan berkala.

Pengerusi Persatuan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tragedi berkenaan bukan berpunca daripada cuaca semata-mata tetapi perlu diakui ia turut disebabkan faktor penyelenggaraan pokok.

“Kita tidak boleh terus menyalahkan cuaca. Ya, ribut boleh menjadi punca, tetapi pokok yang tidak dijaga dengan betul adalah ancaman,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata, tragedi ini berlaku kerana kekurangan kepakaran profesional dalam pengurusan pokok bandar, terutama dalam aspek penanaman, penjagaan dan pemeriksaan.

“Kita perlukan pakar arborist  (pakar pokok) yang faham tentang akar, batang dan jenis pokok yang sesuai ditanam.

“Mereka tahu bagaimana pokok tumbuh dan bila ia mula berisiko untuk tumbang,” tambahnya

Menurut beliau, pemeriksaan berkala terhadap pokok di tepi jalan dan kawasan perumahan wajib dijalankan, bukan hanya selepas tragedi terjadi.

Dalam masa yang sama, beliau mengakui penanaman pokok amat penting untuk memperindah persekitaran dan menambah oksigen, namun aspek keselamatan awam tetap perlu menjadi keutamaan.

Semalam, pemandu maut manakala seorang lagi wanita cedera dalam kejadian berasingan selepas kereta yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang ekoran ribut dan hujan lebat di ibu negara petang.

Kes kematian itu berlaku selepas seorang lelaki maut akibat kejadian sama di Jalan Batang Kali, minggu lalu. – Malaysiagazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast