Dalam insiden berkenaan, dua ekor lembu mati dilanggar dan tercampak di tepi parit di Kilometer 49, Jalan Kerayong–Simpang Kepayang.

BERA – Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan maut selepas sebuah kereta terbabas dan merempuh sekumpulan lembu di Kilometer 49 Jalan Kerayong–Simpang Kepayang di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, mangsa, Nur Adriana Amira Mohamad Norismail disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Bandar 32 di sini akibat kecederaan di kepala yang serius.

Menurutnya, kereta Perodua Bezza dipandu bapa mangsa, Mohamad Norismail Sani, 22, bersama isterinya, Nik Nur Aini Azierah Che Azeman, 21, dalam perjalanan dari arah Kepayang menuju ke Kerayong untuk membeli susu anak mereka.

“Siasatan awal mendapati ketika tiba di lokasi kira-kira 9.40 malam, sekumpulan lembu tiba-tiba keluar dari arah kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum melanggar haiwan berkenaan dan terbabas ke bahu jalan.

”Bayi berkenaan masih berada dalam pangkuan ibunya ketika kejadian dan tidak tercampak keluar daripada kenderaan.

“Manakala dua daripada tiga lembu yang dilanggar mati di tempat kejadian manakala seekor lagi cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan ketika melalui kawasan berkenaan.

Difahamkan pihak polis bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bera turut mengadakan operasi menangani masalah lembu dan kerbau berkeliaran di jalan raya pada malam sama namun kejadian berlaku lebih awal sebelum operasi bermula.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bera untuk proses bedah siasat yang akan dijalankan pada hari ini.

Kes masih dalam siasatan lanjut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast