PUTRAJAYA – Sebanyak empat komponen utama diberikan tumpuan dalam garis panduan khas 2025 bagi memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak dalam sistem keadilan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia diperoleh menerusi hasil sesi libat urus dan siri bengkel yang dijalankan dari Januari hingga Ogos lepas.
Katanya, empat komponen utama adalah pelaporan dan siasatan awal beretika yang meminimumkan trauma terhadap mangsa; prosedur mahkamah mesra kanak-kanak, termasuk penggunaan rakaman video dan pautan langsung (live-link); pelantikan penyokong saksi atau pendamping guaman bagi membantu mangsa sepanjang proses perundangan dan sokongan psikososial serta pemulihan pasca perbicaraan yang berterusan.
“Selain itu, garis panduan berkenaan turut menekankan keperluan latihan berkala kepada semua pihak berkaitan termasuk pegawai penyiasat, pendakwa raya, hakim, pegawai kebajikan serta profesional kesihatan bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan semangat perlindungan kanak-kanak.
“Walaupun garis panduan ini belum bersifat mengikat secara undang-undang, ia menjadi asas penting bagi penyelarasan best practices di seluruh agensi serta membuka ruang untuk pewartaan sebagai prosedur mandatori pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Garis Panduan Khas pengendalian Kes-Kes Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2025, di Istana Kehakiman, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis peluncuran berkenaan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.
Azalina berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa, agensi kerajaan, masyarakat sivil dan pakar undang-undang yang terlibat dalam menjayakan inisiatif ini.
“Semoga Garis Panduan Khas 2025 menjadi langkah besar ke arah mewujudkan sistem keadilan yang lebih berperikemanusiaan, profesional dan berpaksikan kepentingan terbaik setiap kanak-kanak di Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Hasnah ketika berucap pada majlis tersebut menyeru agar garis panduan berkenaan bukan hanya sekadar dibaca tetapi dihayati dan diamalkan serta dijadikan panduan dalam melaksanakan amanah masing.
Katanya, ia perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab profesolisme dan rasa empati.
“Semoga garis panduan ini menjadi tanda bahawa keadilan ini bukan hanya ditegakkan tapi, juga direalisasikan terutama mereka yang paling memerlukan perlindungan,” tambahnya.
Pada Mac lalu, Azalina mengumumkan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 [Akta 676] mula dikuatkuasakan.
Katanya, akta berkenaan yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 11 Julai 2024 bertujuan memperkukuh perlindungan dan hak saksi kanak-kanak dalam sistem perundangan negara.
Menurutnya, melalui pindaan ini, Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 [Akta 676] kini menjadi perundangan utama yang menggariskan peruntukan substantif dan tatacara berkaitan keterangan saksi kanak-kanak. – MalaysiaGazette
















