PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan akan terus menerima nasihat daripada Peguam Negara berhubung isu hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil daripada Kerajaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan, perkara berkenaan telah dijawab Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.
“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah jawab dalam Parlimen bahawa kerajaan akan menerima nasihat daripada Peguam Negara.
“Jadi, jawapan saya sama seperti jawapan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui selepas majlis peluncuran Garis Panduan Khas Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2025, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri berkata, kerajaan menghormati dan akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang memihak kepada Sabah berkait hak menerima 40 peratus hasil bersih yang dikutip Kerajaan Persekutuan dari negeri itu, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri berkata, alasan penghakiman yang akan diterima akan diteliti sebelum sebarang tindakan lanjut dilaksanakan atas nasihat Peguam Negara demi kebaikan dan kepentingan Sabah dan Malaysia seluruhnya.
Tambahnya, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu antara lainnya, mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan kajian semula bersama Kerajaan Sabah di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan kesan terhadap hak 40 peratus. – MalaysiaGazette
















