KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Perwaja, Gurun, Kedah pagi tadi.
Mangsa, Ab Mutalib Wahab, 58, beralamat di Jalan Jeneri, Kampung Masjid, Sik disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu sekitar 7 pagi daripada Unit Kereta Peronda (MPV) Gurun.
“Siasatan awal mendapati motosikal jenis Honda Wave X 110 yang ditunggang mangsa ditemui di bahu jalan dengan kesan terbabas.
“Pemeriksaan lanjut oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Hanyan, kemalangan berlaku di jalan lurus ketika hujan lebat, dipercayai menyebabkan permukaan jalan licin dan menyumbang kepada insiden tersebut.
Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. – MalaysiaGazette















