Anggota APM bantu pindahkan mangsa banjir.

SUNGAI PETANI – Seramai 258 mangsa daripada 90 keluarga di dua daerah di negeri ini dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi ini susulan kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan, dua daerah yang terjejas ialah Kuala Muda dan Kulim, masing-masing dengan satu dan tiga PPS dibuka.

Menurut kenyataan itu, PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Choong Cheng di Kuala Muda menempatkan 52 mangsa daripada 24 keluarga

Katanya, di Kulim pula, PPS Surau Taman Sang Kancil, Dewan Kampung Paya Tok Betok dan SJKC Khai Min menempatkan 206 mangsa daripada 66 keluarga.

“Jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi di negeri ini ialah empat dengan dua daerah terjejas banjir,” menurut JPBN Kedah.

JPBN turut memaklumkan, Kampung Huma di Merbok dikenal pasti antara kawasan terjejas bagi daerah Kuala Muda, manakala di Kulim pula melibatkan Kampung Seberang Sungai, Kampung Seberang Jaya, Kampung Paya Tok Betok, Kampung Kemuting, Kampung Banggol Penyegat di mukim Lunas, Karangan dan Sungai Ular.

“Antara agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana ialah Pejabat Daerah, Penghulu, PDRM, APM, JKM, ATM, Bomba, RELA, KKM, Zakat, SADA dan ADUN,” katanya.

Dalam masa sama, paras air di beberapa sungai di negeri ini juga dilaporkan berada pada tahap waspada dan bahaya, termasuk Sungai Pendang di Pekan Pendang, Pendang yang mencatat paras 2.81 meter melebihi tahap bahaya 2.7 meter dengan trend meningkat setakat  7 pagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast