KUALA LUMPUR – Cinta Gaza Malaysia (CGM) berharap seniman dan karyawan Malaysia mengambil inisiatif menghasilkan sebuah filem mengenai situasi yang sedang berlaku di Gaza, Palestine ketika ini.
Ketua Pegawai Strategi (CSO) Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM), Sarafudin Abdul Syahid Sowell Andrew Jackson, berkata filem yang dihasilkan ini mampu untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman yang lebih mendalam kepada masyarakat di Malaysia tentang insiden yang menyayat hati di sana.
“Kita juga mengharapkan juga seniman dan karyawan di Malaysia mengambil inisiatif untuk menghasilkan sebuah filem yang berkait dengan Palestine ataupun Gaza juga.
“Dengan adanya filem ini, ia mampu memberikan kita spark dalam local industry kita,” katanya di sidang media tayangan perdana filem Hayya 3: Gaza, semalam.
Tambahnya lagi, pembuatan filem ini mampu untuk memberikan sumbangan yang besar bukan sahaja daripada fizikal tetapi melalui seni penceritaan.
“Bantuan yang kita boleh sampaikan bukan sahaja berbentuk kewangan dan fizikal, tetapi juga daripada segi edukasi, melalui seni dan melalui filem,” ujarnya.
Tegas beliau, usaha pembuatan filem di Malaysia mengenai isu ini mampu untuk menyuarakan penderitaan yang dialami oleh mereka bukan sahaja di tanah air tetapi di peringkat global. – MalaysiaGazette















