Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Foto MUHAIMIN MARWAN, 25 OKTOBER 2025

SUBANG JAYA – Lebih 20 pemain yang didakwa memiliki darah campuran pernah dikemukakan untuk mendapatkan kerakyatan bagi mewakili skuad Harimau Malaya.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendedahkan perkara itu berkata, bagaimanapun hanya tujuh pemain yang mendapat kelulusan kerajaan untuk diberikan status kerakyatan, sekali gus layak mewakili negara.

“Saya fikir jaringan besar, ramai (pemain) yang dicadangkan. Ada sekitar 28 pemain, namun hanya tujuh yang JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) luluskan,” katanya pada sidang media di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Menurut baginda, antara 16 hingga 17 ejen pemain bola sepak pernah menyarankan nama pemain untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi mendapatkan kerakyatan dan menyarung jersi skuad kebangsaan.

Pada 25 Septerber lalu, Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan sekatan ke atas
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama tujuh pemain kebangsaan selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA memaklumkan, FAM didapati mengemukakan dokumen palsu dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.

Tujuh pemain itu ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.

Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta) mana setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta.

Berikutan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, kementeriannya meluluskan permohonan tujuh pemain daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui jalur naturalisasi.

Katanya, keputusan dibuat mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan iaitu permohonan untuk menjadi warganegara yang datang daripada kerakyatan asing.

Tunku Mahkota Ismail yang mempertahankan pemain terbabit berkata, beliau  bersedia untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya susulan penggantungan tujuh pemain warisan oleh FIFA jika ia mampu menenangkan peminat bola sepak.

Tambahnya, terdapat pertikaian berkenaan dokumen kerana FAM mempunyai semua dokumen pemain terbabit dan FIFA juga memiliki dokumen mereka.

“Kalau kerajaan sudah cakap dokumen itu sahih, saya tak rasa saya, sebagai rakyat Malaysia, nak persoalkan integriti atau kedaulatan negara saya,” ujarnya.

Sementara itu, baginda berkata, kritikan segelintir peminat bola sepak tempatan tidak pernah melemahkan semangat atau hasratnya untuk terus menyumbang kepada pembangunan bola sepak Malaysia.

“Kritikan tidak menjejaskan semangat saya. Sepanjang 13 tahun ini, saya telah melalui pelbagai cabaran dalam dunia bola sepak, namun ia tidak pernah mematahkan motivasi saya. Saya hanya mahu melihat sukan ini terus berkembang.

“Jika menyalahkan saya atas isu yang melibatkan tujuh pemain warisan itu dapat membuat anda tidur lena pada waktu malam, saya terima dengan hati terbuka,” ujar baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast