KUALA LUMPUR – Pengarah filem Hayya 3: Gaza, Jastis Arimba, melihat karya terbarunya bukan sekadar hiburan di pawagam, tetapi sebuah warisan perjuangan untuk kemanusiaan dan suara solidariti terhadap rakyat Palestin.
Beliau mengakui perjalanan menghasilkan filem itu bukan mudah. Sejak mula, banyak cabaran ditempuh daripada kekangan dana hingga penolakan beberapa pelakon yang bimbang kerjaya mereka terjejas kerana sensitiviti isu Gaza.
Walau bagaimanapun, beliau memahami keadaan itu, menurutnya, tidak semua orang berani menzahirkan pendirian secara terbuka, namun ramai yang tetap menyokong perjuangan ini dengan cara tersendiri.
Menurutnya, dunia perfileman seharusnya menjadi medium kesedaran dan advokasi yang kuat, bukan sekadar hiburan semata-mata.
“Hollywood dan Korea menggunakan filem untuk menyebar budaya mereka, kita juga boleh gunakan filem untuk menyampaikan mesej kemanusiaan dan keadilan,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar lebih ramai penggiat seni di rantau ini, termasuk Malaysia, berani menghasilkan karya bertemakan perjuangan Palestin.
Tambahnya lagi, perjuangan melalui seni tidak pernah sia-sia, ia bukan sekadar pekerjaan tetapi satu amanah dan legasi baginya sebagai seorang muslim serta manusia. – Malaysiagazette















