KUALA LUMPUR – Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan waris seorang lelaki yang ditemui mati di dalam longkang berhampiran Lebuhraya SILK, Sungai Ramal dekat Kajang
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat lelaki itu semlaam sekitar pukul 2.22 petang.
“Sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bersama Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pemeriksaan mendapati mayat berkenaan adalah seorang lelaki (bangsa belum dikenal pasti) yang berpakaian baju biru dan berseluar pendek tanpa memakai kasut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tiada sebarang senjata atau barangan peribadi ditemui di lokasi kejadian, manakala keadaan mayat tidak sempurna serta sudah mulai membusuk.
Beliau berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran didapati pada Ahad lalu sekitar pukul 6.03 petang, terdapat rakaman seorang individu berjalan kaki di tepi lebuh raya berkenaan sebelum memanjat tembok besi dan terjatuh ke dalam longkang.
Katanya, mayat lelaki itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kajang untuk proses bedah siasat.
“Bedah siasat yang dijalankan semalam oleh Pakar Patologi mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan terjatuh dari tempat tinggi. Identiti si mati masih belum dikenal pasti,” katanya.
Tambahnya, pada tubuh mangsa terdapat tatu berbentuk kompas dengan anak panah serta tulisan ‘JOSEPH’ di bahagian lengan kiri.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau kehilangan ahli keluarga untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Borhan Bin Mohamad di talian 014-3289730. – MalaysiaGazette
















