Enam warga Bangladesh cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan memakai sut lengkap dan sari untuk masuk ke negara ini tanpa dokumen lengkap. Foto AKPS

KUALA LUMPUR – Taktik bergaya ala korporat dengan memakai sut lengkap gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila enam warga Bangladesh ditolak daripada memasuki Malaysia melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam

Tindakan empat lelaki warga asing itu memakai sut hitam lengkap manakala dua wanita tampil anggun mengenakan sari tidak mampu menipu pasukan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang menjalankan pemeriksaan dengan teliti.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kesemua mereka yang berusia antara 30-an hingga 50-an tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini yang ditetapkan.

Tambah beliau, kumpulan terbabit  disyaki bukan pelancong tulen dan dipercayai mempunyai tujuan lain yang menyalahi undang-undang.

“Kesemua mereka telah diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama selepas gagal mengemukakan dokumen dan alasan kemasukan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, AKPS sentiasa komited memastikan pintu masuk negara berada dalam kawalan terbaik serta tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak bagi tujuan yang mencurigakan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast