KUALA LUMPUR – ASEAN dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) meneruskan kerjasama erat apabila memeterai pelanjutan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pembangunan bola sepak serantau di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini hari ini.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi ASEAN 2025, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir menyaksikan MoU kali ketiga itu yang ditandatangani Presiden FIFA Gianni Infantino dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Anwar dalam ucapannya berkata, kerjasama antara ASEAN dan badan induk bola sepak dunia itu mencerminkan visi bersama untuk memperkasakan generasi akan datang menerusi sukan.
Tegas beliau, pemimpin ASEAN komited untuk menyokong pembangunan sukan berkenaan iaitu sukan paling popular di rantau ini yang mempunyai populasi hampir 700 juta.
“Menjadi keutamaan ASEAN untuk membina teras pemimpin baharu, memberikan mereka pendedahan dan latihan dan saya amat berterima kasih kepada FIFA atas galakan dan sokongan.
“Anda mempunyai kepakaran dan pengalaman, dan berkongsi dengan golongan muda, terutamanya mereka daripada segmen masyarakat yang lebih miskin, belia bandar dan mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman, membolehkan mereka menerima galakan, kelebihan dan sokongan yang sama,” katanya.

Sebelum ini, ASEAN dan FIFA buat kali pertama menandatangani MoU lima tahun pada 2019 di Bangkok, Thailand yang memberi tumpuan kepada kerjasama untuk memanfaatkan bola sepak sebagai pemangkin pembangunan sosial, gaya hidup sihat dan integriti sukan khususnya dalam memerangi manipulasi perlawanan di rantau ini.
Kedua-dua organisasi itu kemudiannya melanjutkan MoU pada 2023 di Chiang Mai, Thailand untuk meluaskan perkongsian melangkaui 2024 untuk memasukkan inisiatif mengenai kesaksamaan jantina dan perubahan iklim, seperti membangunkan infrastruktur bola sepak berdaya tahan iklim dan program sukan kalis iklim.
Semalam, Infantino turut melancarkan padang mini di Sekolah Rendah Sri Kelana di bawah projek Arena FIFA yang bertujuan mewujudkan lebih 1,000 arena permainan bersaiz kecil untuk manfaat kanak-kanak di seluruh dunia.
Beliau juga mengadakan kunjung hormat bertemu Anwar di Putrajaya dengan perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh ekosistem bola sepak di Malaysia dan rantau ASEAN termasuk melalui projek FIFA Arena yang bakal menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai bakat tempatan dan peningkatan prasarana bola sepak negara.
Kedua pemimpin itu turut menyentuh mengenai Perjanjian Pembangunan Bola Sepak ASEAN-FIFA yang merupakan satu langkah strategik membuka lembaran baharu ke arah menjadikan rantau ini sebagai kuasa bola sepak yang disegani di peringkat global.
Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak melalui peningkatan kemudahan, latihan berstruktur serta kerjasama strategik bersama FIFA sebagai langkah penting untuk melahirkan generasi baharu pemain berbakat, memperkukuh ekosistem sukan profesional dan mengangkat nama negara sebagai hab pembangunan bola sepak serantau. – MalaysiaGazette

















