Gelagat Pelumba AEON CREDIT SIC Racing MSI, Hakim Danish selepas sesi perlumbaan Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Malaysia 2025 di Petronas Litar Antarabangsa Sepang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 26 OKTOBER 2025.

SEPANG – Pelumba muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli menganggap pengalaman sulungnya Kejuaraan Motosikal Grand Prix (GP) Malaysia 2025 sebagai peluang berharga menimba ilmu dan memperbaiki kemahiran, meskipun terpaksa menamatkan perlumbaan kelas Moto3 lebih awal akibat masalah teknikal jentera.

Pelumba berusia 18 tahun itu berkata walaupun jentera yang ditungganginya mati berbaki lima pusingan, pengalaman berlumba di samping pelumba bertaraf dunia seperti Jaume Masia memberikan motivasi dan keyakinan untuk menghadapi musim penuh Moto3 tahun depan.

Hakim Danish yang sedikit kecewa dengan keputusan pada penampilan sulungnya itu bagaimanapun tetap menghargai pengalaman dikutipnya hari ini.

“Perasaan sangat gembira dapat berlumba dengan pelumba juara utama sebab mereka memang laju. Itu adalah pengalaman bagi saya,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan.

Perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang itu juga medan untuk beliau mempelajari teknik pelumba handalan dunia, menyesuaikan diri dengan pengendalian jentera di tahap tertinggi dan membina keyakinan diri.

“Saya belajar banyak perkara terutama cara mereka kawal motor di kelas perlumbaan tinggi ini. Saya akan terus perbaiki diri untuk persediaan musim depan,” katanya.

Terdahulu, beliau yang mewakili pasukan AEON CREDIT SICRacing MSI memulakan perlumbaan di petak ke-12 sebelum melonjak ke tempat ke-11, namun terpaksa menghentikan perlumbaan susulan masalah teknikal. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast