Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Mustaqim Zakaria

KUANTAN – Pemuda UMNO Pahang mendesak Kementerian Pendidikan (KPM) segera tampil mengeluarkan kenyataan rasmi serta arahan menyeluruh berhubung isu hidangan arak di premis sekolah yang tular baru-baru ini.

Ketua penerangannya, Mustaqim Zakaria berkata, langkah tegas itu penting bagi menegakkan maruah institusi pendidikan serta menutup ruang kepada sebarang tafsiran longgar yang boleh menjejaskan imej sekolah sebagai pusat pembentukan akhlak dan jati diri pelajar.

“KPM tidak boleh berdiam diri. Satu arahan jelas perlu dikeluarkan agar tiada mana-mana pihak, sama ada individu, organisasi atau swasta, menganjurkan sebarang majlis melibatkan alkohol di kawasan sekolah termasuk dewan yang disewa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mustaqim, isu tersebut bukan sekadar soal moral tetapi menyentuh asas nilai dan adab yang menjadi teras kepada sistem pendidikan negara.

“Sekolah ialah tempat mencambah ilmu, membina akhlak dan memperkukuh jati diri pelajar. Ia bukan pentas untuk menormalisasi budaya keraian yang meminggirkan nilai kesopanan dan tatatertib,” tegasnya.

Mustaqim berkata, Pemuda UMNO Pahang memandang serius perkara itu dan menegaskan bahawa sekolah mesti kekal sebagai kawasan bebas daripada pengaruh negatif seperti alkohol, perjudian atau sebarang bentuk hiburan tidak bermoral.

Beliau turut menegaskan, pendidikan merupakan benteng moral negara yang perlu dipertahankan daripada unsur yang boleh menghakis disiplin, maruah dan tatasusila masyarakat.

“Anak-anak yang menuntut ilmu perlu dilindungi daripada pengaruh yang mencemarkan fikiran serta merosakkan budi. Sekolah bukan tempat untuk meneguk budaya yang memabukkan tetapi tempat menegakkan nilai yang menyedarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Mustaqim turut mengecam keras mana-mana pihak yang cuba mempertahankan penganjuran majlis seumpama itu atas alasan hak komuniti, kebebasan berbudaya atau tujuan kebajikan.

“Kebebasan yang tidak berpaksikan akhlak bukan tanda kemajuan, sebaliknya lambang longgarnya nilai dan hilangnya pedoman.

Kepelbagaian budaya wajar diraikan dalam kerangka undang-undang dan adab, bukan dijadikan alasan untuk menormalisasi perkara yang jelas bertentangan dengan moral bangsa,” tegasnya lagi.

Beliau menegaskan, KPM perlu segera memperkukuh garis panduan sedia ada bagi memastikan semua institusi pendidikan kekal bersih, beradab dan bermaruah selaras dengan roh pendidikan nasional. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast