Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berbual bersama Ahli Parlimen Payar Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah ketika menghadiri Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 Oktober 2025.

KUALA LUMPUR Malaysia memperlihatkan komitmen tinggi sebagai peneraju serantau apabila Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berjaya dilaksanakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyertaan pemimpin tertinggi ASEAN dan rakan dialog antarabangsa mencerminkan keyakinan global terhadap peranan Malaysia di peringkat serantau.

“Kehadiran ramai pemimpin dunia di Kuala Lumpur hari ini mencerminkan keyakinan global terhadap peranan Malaysia sebagai peneraju serantau yang komited kepada agenda ‘inclusivity and Sustainability,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, mesej yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi perasmian turut menegaskan keberanian Malaysia untuk memimpin hala tuju ASEAN ke depan.

Ahmad Zahid menegaskan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 beriltizam memastikan segala keputusan memberi impak besar demi aspirasi ASEAN Community Vision 2045.

Tahniah saya ucapkan kepada seluruh pasukan yang terlibat, khususnya rakyat Malaysia dalam memastikan persiapan dan perjalanan Sidang Kemuncak ini berjalan lancar,” ujarnya.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat mendoakan agar persidangan berprestij itu terus berjalan lancar dan membawa manfaat besar kepada rantau ini.

“Sama-sama kita mendoakan agar segala urusan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 ini berjalan lancar dan membawa keberkatan serta manfaat besar buat Malaysia dan seluruh rantau ini. Insya-Allah,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menghimpunkan pemimpin tertinggi dari 10 negara anggota serta rakan dialog termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India, sekali gus menekankan peranan ASEAN sebagai platform utama untuk dialog dan kerjasama dalam suasana dinamik global yang semakin berubah.

Sidang ini dihadiri Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang tiba pagi tadi untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara.

Trump dijangka menyertai dialog peringkat tinggi dan menyaksikan pemeteraian KL Accord – perjanjian damai penting antara Thailand dengan Kemboja yang bertujuan menamatkan pertikaian sempadan dua negara selama beberapa dekad.

Antara pemimpin dunia yang turut menghadiri sidang kemuncak itu ialah Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa dan Perdana Menteri Jepun yang baharu Sanae Takaichi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast