KUALA LUMPUR – Himpunan Bantah Kehadiran Trump hari ini membawa ‘mahkamah rakyat’ ke jalanan untuk ‘menghukum’ Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Sekretariatnya, Ayman Hareez berkata, ia kerana Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) didakwa gagal mengheret Netanyahu ke muka pengadilan kerana pembunuhan beramai-ramai rakyat Gaza.
“Saya sangat gembira dan girang hari ini kerana berjaya untuk menjalankan persidangan ‘mahkamah rakyat’ bagi menjatuhkan hukuman kepada Trump dan Netanyahu secara simbolik.
“Kami berkumpul untuk menzahirkan penentangan, penafian dan pengecaman terhadap kuasa terzalim di dunia iaitu imperialisme Barat AS.
“Ini hanyalah permulaan dan kita akan teruskan perjuangan sehingga syarikat AS jatuh!” tegasnya kepada pemberita selepas Himpunan Bantah Kehadiran Trumph di Jalan Ampang hari ini.

Hampir 100 peserta terlibat yang kebanyakannya memegang plakad tertera mesej Trump You’re Criminal, Smash Imperlialism, Smash Big Oil, Henti Ekosida Genosida, Tolak Trumph, Tolak Madafaka dan Penjajah Disanggah Bukan Disembah.
Sebagai simbolik hukuman terhadap Trumph dan Netanyahu, para peserta diajak untuk melempar kasut dan selipar serta memijak karikatur iras wajah dua pemimpin itu yang kemudiannya dikoyak secara beramai-ramai.

Menurut Ayman, himpunan itu juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput Trump ke Persidangan ASEAN ke-47 yang dipengerusikan Malaysia kali ini.
“Saya sebagai rakyat Malaysia mengecam tindakan Perdana Menteri kita menjemput dan mengundang secara mesra Presiden Jahanam, Celaka (Trump) datang ke negara kita,” katanya.

Ayman melahirkan rasa berbangga walaupun mendakwa rakyat dan pihaknya dikekang pihak berkuasa namun himpunan aman itu berjaya memberi mesej kepada dunia tentang kezaliman Trump di sebalik tindakan ketenteraan Rejim Zionis.
“Saya sangat-sangat bangga kerana berani menonjolkan diri, menunjukkan solidariti dan saya ingin memesan bahawa ini bukanlah pengakhiran perjuangan.
“Kita semua bertanggungjawab untuk meneruskan melawan kezaliman, kejahatan, penindas di seluruh dunia dan saya mengalu-alukan menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk menyambut seruan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















