KUALA LUMPUR – Blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo yang ditahan polis tengah malam tadi bagi membantu siasatan di bawah Akta Hasutan, akan dibebaskan petang ini.
Pempengaruh itu ditahan reman sehari selepas Mahkamah Majistret yang bersidang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, menolak permohonan reman polis untuk menahannya selama empat hari.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakilinya memberitahu MalaysiaGazette, Papagomo akan dibebaskan pukul 2 petang ini.
“Polis memohon tahanan reman selama empat hari, namun mahkamah menolaknya dan hanya membenarkan dia direman sehari.
“Saya hujahkan isu yang dibangkitkan adalah berkaitan politik dan tidak melibatkan mana-mana pihak, jadi tiada keperluan anak guam saya ditahan sehingga empat hari,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Muhammad Rafique, Papagomo disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam.
Media melaporkan, Papagomo yang menggunakan akaun Facebook bernama @Sir Azri dilaporkan ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam dan dibawa ke IPD Dang Wangi.
“Pempengaruh dan pengkritik Kerajaan, Wan Muhammad Azri @Papagomo @Sir Azri telah ditahan PDRM jam lebih kurang 12.30 awal pagi ini,” kata peguam itu dalam satu kenyataan ringkas.
Pada 30 April 2024, Papagomo pernah ditahan oleh polis selepas didakwa mengeluarkan kenyataan hasutan terhadap Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong dalam satu video yang tular.
Selain itu, pada 27 Ogos 2025, beliau dijatuhi hukuman 30 hari penjara oleh Mahkamah Tinggi kerana menghina dan mengabaikan injunksi mahkamah berkaitan kes saman fitnah yang difailkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. – MalaysiaGazette















