KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama syarikat utiliti awam terbesar dunia State Grid Corporation of China (SGCC) melalui anak syarikat milik penuhnya China Electric Power Equipment and Technology Co., Ltd. (CET).

Melalui MoU tersebut, TNB dan SGCC_CET akan menubuhkan jawatankuasa kerja bersama bagi memantau kemajuan kerjasama kedua-dua pihak.

Antara akitiviti utama termasuk sesi pembangunan kapasiti, laporan kajian teknikal serta sokongan reka bentuk konseptual bagi projek perintis – antaranya seperti rekaan rangkaian arus terus pembahagian voltan sederhana/rendah, dan rangka kerja AI agentik bagi operasi grid.

“TNB akan menyediakan maklumat teknikal yang diperlukan bagi menyokong kerjasama ini, manakala CET akan berkongsi keupayaan teknologi, piawaian dan pengalaman pengurusan projek melalui operasi global SGCC,” kata syarikat utiliti negara itu dalam satu kenyataan hari ini.

MoU ditandatangani oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan, dan Pengerusi CET, Yu Jun disaksikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof, di Shah Alam, Selangor.

Menurut kenyataan itu, SGCC mempunyai rekod cemerlang dalam bidang tenaga, dengan pembekalan elektrik kepada lebih 1.1 bilion pelanggan serta rangkaian operasi antarabangsa di lebih 40 buah negara melalui CET sebagai cabang perniagaan globalnya.

Megat Jalaluddin menegaskan komitmen TNB dalam memajukan sektor tenaga Malaysia melalui kerjasama strategik.

“Sebagai pembekal elektrik utama negara, TNB berdedikasi untuk membangunkan sistem kuasa yang lebih cekap, berdaya tahan dan rendah karbon,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama itu juga menekankan komitmen TNB dalam menyokong masa depan Malaysia yang lebih mampan melalui teknologi AI, khususnya menerusi inisiatif Grid Pintar. Kami berharap kerjasama sebegini dapat terus diperkukuh bagi menyokong matlamat peralihan tenaga negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast