KUALA LUMPUR – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump puji ‘melambung’ peranan penting Malaysia dalam memudah cara rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja yang akhirnya menyaksikan penjanjian damai di antara kedua-dua negara terbabit akan ditandatangani di Kuala Lumpur hari ini.
Trump berkata, keputusan beliau untuk memasukkan Malaysia dalam siri lawatan serantau kali ini merupakan pengiktirafan terhadap diplomasi aktif Kuala Lumpur dalam membantu menjayakan rundingan damai antara dua negara jiran itu.
Beliau menyebut beberapa kali nama Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil menyatakan beliau menyukai kepimpinan Perdana Menteri terutamanya dalam proses rundingan damai ini.
“Malaysia telah memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan proses perdamaian ini berjalan lancar. Ia menunjukkan kepimpinan yang matang dan komitmen tinggi terhadap keamanan serantau,” katanya sebelum berlepas ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis bersejarah itu.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/10/26/perjanjian-damai-thailand-kemboja-dimeterai-hari-ini/
Trump turut menyatakan bahawa kejayaan rundingan tersebut mencerminkan semangat kerjasama ASEAN yang semakin kukuh dalam menghadapi cabaran geopolitik serantau.
“Saya menghargai usaha Malaysia yang bertindak sebagai jambatan antara dua negara sahabat ini. Inilah contoh sebenar kepimpinan diplomatik yang dunia perlukan,” katanya lagi.
Sementara itu, sekali lagi ketika dalam perjalanan ke sini, beliau dalam kenyataan di The Truth Social miliknya, Trump turut mengumumkan perubahan jadual bagi majlis menandatangani perjanjian tersebut yang akan diadakan sebaik ketibaannya di Kuala Lumpur.

“Saya kini dalam perjalanan ke Malaysia untuk menandatangani Perjanjian Damai yang saya dengan bangganya menjadi pengantara antara Kemboja dan Thailand.
“Tapi dukacita dimaklumkan, Bonda Ratu Thailand baru sahaja mangkat. Saya merakamkan takziah kepada seluruh rakyat Thailand yang hebat. Saya akan bertemu dengan Perdana Menteri mereka yang luar biasa sebaik sahaja kami tiba.
“Bagi menyesuaikan jadual semua pihak untuk acara besar ini, Perjanjian Damai akan ditandatangani sebaik sahaja ketibaan kami. Jumpa anda semua tidak lama lagi,” tulisnya.
Majlis penandatanganan perjanjian itu dijangka disertai Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dengan Malaysia menjadi tuan rumah serta pemerhati rasmi.
Difahamkan juga, melalui perjanjian tersebut akan menandakan berakhirnya pertikaian berlarutan selama lebih sedekad di kawasan sempadan barat Kemboja–Thailand yang membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala dan kerjasama serantau di bawah naungan ASEAN. -MalaysiaGazette















