KUALA LUMPUR – Perhimpunan aman yang diadakan di Dataran Merdeka, pagi ini bertujuan untuk menyampaikan mesej yang jelas kepada dunia bahawa rakyat Malaysia menolak kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke negara ini.
Menurut Pengerusi Boikot, Lupus, dan Sekat (BDS) Malaysia, Prof Dr Mohd Nazari Ismail, mesej utama himpunan tersebut adalah untuk menunjukkan penentangan terhadap dasar kerajaan Amerika yang dilihat menyokong Israel secara membuta tuli.
Tambah beliau, sokongan yang diberikan itu telah membuka ruang kepada Israel untuk terus melakukan kekejaman dan penderitaan terhadap rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak.

“Perhimpunan ini bertujuan untuk beritahu beliau, walaupun kerajaan Malaysia membuat keputusan untuk menjemputnya tetapi rakyat Malaysia masih tegas dengan prinsip bahawa dia adalah seorang penjenayah genosid,” katanya ketika di temubual Malaysia Gazette di perhimpunan aman, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan rakyat bersuara di dalam perhimpunan ini tetap penting bagi menyuarakan penderitaan yang dialami di Palestin.
“Kalau kita lihat di Eropah, rakyat mereka juga turun ke jalanan dan akhirnya kerajaan mereka mula mengubah dasar terhadap Israel,” ujarnya.
Sementara itu, Jurucakap Sektretariat Solidariti Palestin, Tian Chua, berkata rakyat Malaysia tidak menolak usaha kerajaan untuk memperkukuh ekonomi negara, namun tegas menolak dasar luar Amerika di bawah Trump yang disifatkannya sebagai tidak berprinsip dan menindas.

“Rakyat Malaysia ingin menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap dasar beliau yang memberi sokongan penuh kepada Israel dan membekalkan dana serta senjata kepada kerajaan Netanyahu,” jelasnya.
Mengulas isu pertukaran lokasi himpunan dari Ampang Park ke Dataran Merdeka pada saat akhir, Tian menyifatkan tindakan itu sebagai tidak profesional dan bertentangan dengan hak rakyat untuk berhimpun secara aman.
“Program ini telah dihebah lebih sebulan, malah pihak polis sebelum ini tidak menghalang, tetapi secara tiba-tiba malam semalam mereka arahkan pindah lokasi, ini tindakan yang tidak munasabah dan mengganggu penyertaan orang ramai.
“Walaupun begitu, kami tetap akur demi menjaga keamanan, saya bangga rakyat masih hadir dan tidak berganjak untuk menyatakan solidariti terhadap Palestin,” tambahnya.
Perhimpunan aman itu berlangsung secara tertib di Dataran Merdeka dengan kehadiran orang ramai bagi menentang kezaliman Israel serta menolak pengaruh dasar luar Amerikan yang berat sebelah – MalaysiaGazette














