Malaysia Techlympics 2025 meliputi pelbagai tema seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, pengkomputeran, dron dan percetakan 3D.

KUALA LUMPUR – Lebih 5,000 peserta dari dalam dan luar negara bakal berhimpun di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 9 dan 10 November ini bagi merebut gelaran juara kebangsaan dalam Malaysia Techlympics 2025.

Program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu bakal melakar sejarah apabila merekodkan penyertaan luar biasa melebihi 1.84 juta peserta dari 1,420 sekolah menjadikannya inisiatif pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) terbesar negara sejak dilancarkan pada 2022.

Buat julung kali, pasukan antarabangsa dari Thailand, Kemboja, Indonesia dan China turut serta dalam empat acara utama peringkat akhir.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI MOSTI, Abdullah Daud berkata, Malaysia Techlympics bukan sekadar pertandingan sebaliknya gerakan nasional yang menyemai semangat saintifik dan inovatif dalam kalangan belia berusia tujuh hingga 30 tahun.

“Kami mahu pelajar bangga, ibu bapa yakin dan masyarakat percaya bahawa anak muda Malaysia mampu cipta masa depan. Dari pentas inilah bakal lahir saintis dan pencipta teknologi masa depan negara.

“Penyertaan pasukan antarabangsa dan peluang ke kejohanan global dalam program ini membuktikan komitmen Malaysia untuk melahirkan generasi muda yang celik teknologi, kreatif dan bersedia ke pentas dunia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain merebut hadiah keseluruhan RM141,100, juara turut berpeluang mewakili Malaysia ke pertandingan antarabangsa, termasuk Pilot X International di Hong Kong pada Februari 2025.

Menariknya, edisi kali ini menampilkan 2,500 pelajar Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang akan berentap dalam Cabaran Mencipta Robot (Keterangkuman), buat pertama kali secara fizikal di pentas akhir.

MOSTI turut melaksanakan lebih 90 program keterangkuman di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar, pedalaman dan komuniti Orang Asli bagi memastikan peluang penyertaan yang saksama.

MITC turut dijangka menjadi tumpuan lebih 20,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti mesra keluarga, termasuk 40 ruang pameran interaktif, demonstrasi teknologi dan pertunjukan dron dalam bangunan terbesar di Malaysia yang bakal mencatat rekod Malaysia Book of Records.

Malaysia Techlympics ialah inisiatif yang dianjurkan oleh MOSTI untuk memupuk minat dan bakat generasi muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pertandingan dan aktiviti yang kreatif dan kompetitif.

Program itu meliputi pelbagai tema seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, pengkomputeran, dron dan percetakan 3D. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast