Foto Facebook Tengku Zafrul Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Anggota ASEAN dan India komitmed terhadap sistem perdagangan yang telus, boleh diramal dan berasaskan peraturan demi manfaat perniagaan dan masyarakat di kedua-dua rantau.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antara hasil perbincangan utama berkaitan tonggak ekonomi adalah termasuk kemajuan dalam rundingan Kajian Semula Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) bagi memperkukuh nilai perdagangan dan rantaian bekalan serantau.

Menurut beliau, ia dijangka dimuktamadkan secara substantif menjelang akhir 2025 dengan sokongan terhadap Projek Lebuhraya Tiga Hala India-Myanmar-Thailand serta pelancaran Dana Masa Depan Digital ASEAN–India (AIFDF) bagi memperkukuh kesalinghubungan digital dan kewangan.

“ASEAN dan India turut memperkukuh kerjasama dalam bidang inovasi, tenaga bersih dan pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan penglibatan lebih aktif oleh pihak industri dan swasta.

“Pemimpin-pemimpin ASEAN dan India juga secara rasmi telah mengisytiharkan tahun 2026 sebagai Tahun Kerjasama Maritim ASEAN–India dengan jaringan kerjasama merangkumi pembangunan Pelan Kerja Dinamik bagi tahun 2026 dalam bidang maritim yang selaras dengan perundangan antarabangsa seperti Latihan Maritim ASEAN–India serta Forum Maritim ASEAN yang Diperluas (Expanded ASEAN Maritime Forum – EAMF),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya.
Sidang Kemuncak ASEAN-India Ke-22 dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, kestabilan dalam pelbagai bidang termasuk maritim sudah semestinya akan menyumbang kepada kesinambungan kestabilan hubungan perdagangan dan pelaburan di antara kedua-dua rantau.
“Bersama, ASEAN dan India komited dalam membina perkongsian yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan, berteraskan visi ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast