Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bercakap kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Mou antara MARA dengan Malaysia Profesional Accountacy Centre (MyPac) di Hotel Wyndham Grand Bangsar, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 27 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Hukuman rotan di institusi pendidikan di negara ini khususnya di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebenarnya tidak pernah dimansuhkan kerajaan.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, hukuman rotan masih dilaksanakan mengikut prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Kami sebenarnya, rotan ini tidak pernah dimansuhkan pun, rotan ini masih dilaksanakan mengikut SOP yang ditetapkan oleh kementerian, malah maktab (MRSM) kita ikut apa (garis panduan) KPM.

“Kuasa merotan ini adalah kuasa pengetua dan pengetua boleh memberi atau menurunkan kuasa tersebut kepada guru-guru disiplin,” katanya.

Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (kiri) dan Pengerusi MyPac, Datuk Abdul Rauf Rashid (kanan) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif MyPac, Datuk Zaiton Mohd Hassan (dua kanan) diiringi oleh Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman (dua kiri) menandatangani dokumen perjanjian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MARA dengan Professional Accountacy Centre (MyPac) di Hotel Wyndham Grand Bangsar, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 27 OKTOBER 2025.

Terdahulu Asyraf menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara MARA, Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Pusat Akauntan Profesional Malaysia (MyPAC) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin yang bersetuju cadangan hukuman rotan dikembalikan di sekolah bagi membendung salah laku dan meningkatkan disiplin para pelajar.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, pelaksanaan hukuman rotan di sekolah mahupun institusi pendidikan MARA tidak sehingga mencederakan para pelajar.

“Rotan sekadar untuk memberikan pengajaran yang tidak sehingga mencederakan dan ia tidak boleh dilakukan secara terbuka.

“Kita di peringkat MRSM tidak melihat itu sebagai satu masalah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast