Harrison Hassan
Harrison Hassan

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Parti Pribumi Bersati Malaysia (Bersatu) masih relevan dan tidak wajar dipertikaikan, tegas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, Datuk Harrison Hassan.

Menurut Ketua Bahagian Bersatu Kuala Selangor itu, dakwaan menyifatkan Presiden Bersatu sudah tidak lagi sesuai menerajui parti menunjukkan kelemahan pemikiran politik pihak terlibat selain gagal memahami perjalanan serta struktur organisasi Bersatu.

“Ini kenyataan yang sangat dangkal. Hanya individu yang cetek pemikiran politik serta tidak memahami organisasi politik akan membuat kenyataan sebegini.

“Bagi kami, majoriti ahli yang setia kepada perjuangan parti, yang faham tentang peraturan serta perlembagaan parti, kami mahukan beliau terus memimpin parti ke hadapan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah yang mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan Presiden Bersatu dengan mendakwa bekas Perdana Menteri itu sudah kehilangan kualiti kepimpinan yang pernah dimilikinya sebelum ini.

Menurut Saifuddin, Muhyiddin didakwa tidak lagi menunjukkan ciri kepimpinan berasaskan adab, ilmu dan kemahiran seperti ketika awal menubuhkan parti berkenaan.

Dalam pada itu, Harrison yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram berkata, desakan sedemikian hanya dilakukan individu yang mahu mengeruhkan keadaan tanpa memikirkan kepentingan ahli serta masa depan parti.

Beliau menegaskan, majoriti ahli yang setia kepada perjuangan Bersatu mahu Muhyiddin kekal mengetuai parti dan bersedia bekerja keras menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

“Kami bersedia bekerja keras bersama-sama kepimpinan yang ada untuk memenangi majoriti kerusi dalam negara pada PRU-16 akan datang,” katanya.

Harrison berkata, kepimpinan parti kini dipilih secara sah oleh perwakilan akar umbi pada pemilihan November 2024 dan mana-mana usaha menggugat kestabilan parti perlu ditolak sekeras-kerasnya.

“Kami menyokong apa jua tindakan disiplin parti yang berlandaskan peraturan dan perlembagaan agar dikenakan ke atas mana-mana ahli yang terbukti mempunyai mala fide, bersekongkol mahupun merancang untuk melemahkan parti atau demi untuk mencapai ‘cita-cita sendiri’,” ujarnya.

Tambahnya, Bersatu di bawah Muhyiddin berada di landasan tepat dan menjadi harapan rakyat yang semakin terkesan dengan pentadbiran kerajaan Madani.

Beliau turut menegaskan, Bersatu dan Perikatan Nasional akan terus menjadi pilihan alternatif yang lebih baik untuk negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast