KUALA LUMPUR – Lebih 1,200 kes buli dan salah laku melibatkan pelajar sekolah dicatatkan di Selangor antara Januari hingga Oktober tahun ini.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan berkata, berdasarkan data Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, daripada jumlah itu sebanyak 954 kes adalah salah laku jenayah , manakala 265 lagi berkaitan kes buli.
“Daripada kes direkodkan itu, 41 kertas siasatan telah dibuka iaitu sembilan kes berkait buli dan 32 kes salah laku lain kerana sebahagian tidak mempunyai keterangan mencukupi.
“Bagaimanapun, kita memandang serius isu disiplin dan buli di sekolah kerana ia lahir daripada ekositem sosial dan emosi masyarakat,” katanya pada sidang media selepas Program Perhimpunan Pagi Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam, Selangor, hari ini.
Menurut Mohd Zaini, mengekang jenayah dan salah laku pelajar bukan hanya melalui tindakan undang-undang, sebaliknya perlu memperkasa tanggungjawab sosial bersama.
Mengulas lanjut tambah beliau, sebanyak 16 reformasi startegik akan diperkenalkan kerajaan negeri bagi memperkukuhkan kesejahteraan pelajar bagi peringkat sekolah.
“Esok akan diadakan satu mesyuarat peringkat nasional dijalankan Ketua Polis Negara bersama Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membincangkan langkah pelaksanaan selanjutnya,” jelasnya.
Mohd Zaini memaklumkan, tiada sekolah yang dikategorikan sangat kritikal kerana kebanyakkan kes hanya melibatkan pelajar senior dan junior.
“Jumlah pelajar di Selangor merekodkan 997,000 orang di 994 sekolah, dan jumlah kes lebih 1,200 yang direkodkan hnaya 0.0125 peratus sahaja daripada keseluruhan pelajar.
“Adakah ia menunjukkan angka besar? Cuba satu atau dua kes yang memberikan persepsi namun keadaan masih lagi terkawal,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















