MELAKA – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan memulas tangan ibunya sehingga mengalami kecederaan dan mengugut untuk membunuh mangsa, bulan lalu.
Tertuduh, U. Sarvin, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap ibunya, C. Chitra, 41, dengan cara memulas bahagian tangan kiri ke belakang badan mangsa.
Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun dan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya dengan cara mengugut mahu membunuhnya.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukukan penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan pada pukul 5.45 petang di sebuah rumah di Taman Paya Rumput Permai, dalam daerah Melaka Tengah pada 12 September lalu.
Difahamkan, kejadian berpunca apabila wanita itu tidak membenarkan anaknya mengambil keretanya kerana dalam keadaan mabuk.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-kedua pertuduhan, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu ia dikurangkan dengan alasan sudah tidak bekerja.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Disember ini sebagai sebutan kes. – MalaysiaGazette
















