KUALA LUMPUR – Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai kerajaan didakwa bukan satu hubungan timbal balas seperti digambarkan tetapi satu bentuk penyerahan kedaulatan negara kepada kuasa asing.
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Malaysia bakal kehilangan kuasa membuat keputusan sendiri dalam pelbagai aspek ekonomi apabila perjanjian itu berkuat kuasa sepenuhnya.
“Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) sama sekali tidak bersifat timbal balas. Ini merupakan satu bentuk penyerahan: Malaysia menyerahkan terlalu banyak kawalan terhadap ekonominya, sementara Amerika Syarikat terus bebas menentukan apa yang menguntungkan industri mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu lagi, antara kebimbangan paling besar ialah Artikel 5.1 yang mewajibkan Malaysia mengikuti sekatan perdagangan Amerika Syarikat terhadap mana-mana negara lain walaupun ia menjejaskan hubungan dan kepentingan ekonomi negara.
“Jika Washington memutuskan untuk menyekat import dari China atau Rusia, Malaysia juga mesti melakukan perkara yang sama walaupun ia boleh menjejaskan ekonomi kita,” ujarnya.
Beliau berkata, peruntukan tersebut akan memaksa Malaysia memihak dalam pertikaian kuasa besar dan menghapuskan pendirian berkecuali yang sekian lama menjadi dasar negara, sekali gus menghakis keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai rakan dagang yang stabil.
Azmin mendakwa ART memberi kuasa kepada Amerika Syarikat untuk memaksa Malaysia menerima piawaian asing dalam sektor makanan, ubat-ubatan, automotif serta melemahkan sistem pensijilan halal negara.
“Malah ia melarang Malaysia mengenakan cukai ke atas firma teknologi global atau mewajibkan mereka menyimpan data di dalam negara, sekali gus menyerahkan kawalan ekonomi digital kita,” ujarnya.
Katanya, manfaat jangka pendek yang mungkin dicanangkan kerajaan tidak sebanding dengan implikasi jangka panjang terhadap kedaulatan dan keselamatan ekonomi negara.
“Pelaksanaan ART tidak akan menjadikan Malaysia lebih kuat, sebaliknya menandakan penyerahan kedaulatan, pendirian berkecuali serta masa depan ekonomi kita,” jelas beliau.
Awal hari ini, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, berkata perjanjian ART antara Malaysia dan Amerika Syarikat bakal menawarkan akses pasaran lebih baik dan terjamin buat kedua-dua negara.
Menerusi perjanjian itu, sebanyak 1,711 talian tarif, tidak akan dikenakan tarif timbal balas sebanyak 19 peratus.
Antaranya, eksport utama Malaysia seperti minyak sawit, barangan berasaskan getah, produk koko, komponen dan alat gentian pesawat serta farmaseutikal.
Perjanjian itu ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump semasa pertemuan dua hala di luar Sidang Kemuncak Asean ke-47. – MalaysiaGazette
















