Marzuki Mohamad

KUALA LUMPUR – Gerakan untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan perkara baharu.

Sebaliknya, gerakan itu bermula sejurus beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2021, kata bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad

Menurutnya, sejak itu, terdapat perubahan sikap ketara dalam kalangan beberapa pemimpin kanan parti yang dilihat mula menjauhkan diri serta tidak lagi menghormati arahan Muhyiddin.

“Arahan-arahan beliau tidak diambil serius malah mesej-mesej yang dihantar ke telefon berhari-hari tidak dijawab.

“Malah, seorang pemimpin sayap muda parti yang boleh dikatakan ‘anak emas’ Tan Sri Muhyiddin, mula bercakap secara terang-terangan Tan Sri Muhyiddin tidak lagi relevan.

“Maklumlah, walaupun sebagai Ketua Parti, beliau tidak berjawatan di dalam Kabinet. Sedangkan yang lain-lain itu Menteri dengan kuasa dan pengaruh yang besar,” katanya di laman Facebook beliau, hari ini.

Katanya, semuanya bermula apabila Muhyiddin tidak memegang jawatan kerajaan pada ketika itu berbanding pemimpin lain yang memegang portfolio menteri.

“Susah juga sebenarnya apabila menjadi ketua parti yang tiada jawatan dalam kerajaan. Ketua dipandang sebelah mata,” ujarnya.

Menurut Marzuki, beliau pernah menasihati agar Muhyiddin mempertimbangkan persaraan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana kesukaran memimpin parti dalam keadaan beberapa pemimpin tidak lagi menghormatinya dan kedudukan kerjasama politik bersama Pas masih tidak menentu ketika itu.

Namun katanya, Muhyiddin menegaskan bahawa beliau tetap mempunyai tanggungjawab sebagai ketua dalam Perikatan Nasional (PN).

“Beliau kata kalau memikirkan tentang dirinya, sudah lama beliau berhenti. Itu pilihan yang paling mudah untuk beliau dan paling disukai oleh ahli keluarganya.

“Tetapi sebagai Ketua Parti beliau ada tanggungjawab. Takkan beliau nak berundur tatkala bala tenteranya sedang menghadapi perang. Itu akan memberikan kekalahan moral kepada PN sebelum turun berjuang di medan pilihanraya umum,” jelas Marzuki.

Marzuki berkata, Muhyiddin memberitahu beliau bahawa biarlah PRU15 menjadi pertandingan terakhir dan meletakkan semuanya kepada rakyat.

Let’s give GE15 our last hurrah. Kalau menang, menanglah. Kalau kalah, kalah lah. Namun berundur tidak sekali. Biar putih tulang, jangan putih mata.

“Ditakdirkan Allah, Pas memilih untuk bersama PN dan gelombang “Abah” menjadi fenomena yang membantu kemenangan PN,” katanya.

Semalam Datuk Seri Saifuddin Abdullah, lantang mengkritik kepimpinan tertinggi parti dan mendesak agar Muhyiddin berundur daripada jawatan tersebut yang menyaksikan Ahli Parlimen Indera Mahkota itu digugurkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional Pahang

Susulan itu, Jelajah Semarak Bersatu Fasa 1 Johor–Melaka digerakkan oleh kumpulan yang diketuai beberapa Ketua Bahagian termasuk Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru), Musa Khamis (Tanjung Piai), Datuk Rashid Hasnon (Parit Sulong), Abdul Halim Abu Bakar (Mersing) dan Datuk Isa Hamid (Pontian).

Mereka mendesak agar Tan Sri Muhyiddin melepaskan jawatan Presiden, selain menuntut Datuk Seri Azmin Ali digugurkan daripada jawatan yang disandang dan Datuk Tun Faisal digantikan sebagai Ketua Penerangan Bersatu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast