JOHOR BAHRU – Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, membuka Extended Clinic di bahagian klinik pakar bagi mengurangkan kesesakan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, klinik tambahan berkenaan akan mengendalikan kes-kes bukan kecemasan.
“Ini merupakan langkah diambil kerajaan negeri bagi mengurangkan kesesakan di jabatan kecemasan HSA.
“Jika pesakit yang hadir ke jabatan kecemasan dinilai sebagai kes bukan kritikal (Zon Hijau), mereka akan diarahkan ke klinik ini untuk mendapatkan rawatan dan ubat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau memberitahu, hujung minggu lalu klinik tambahan itu yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam telah menerima 199 kes bukan kecemasan iaitu 99 kes pada Sabtu dan 100 kes pada Ahad.
“Pada hari bekerja, waktu lanjutan dari 6 petang hingga 10 malam turut mengendalikan antara 15 hingga 30 kes setiap hari,” katanya.
Katanya, Jabatan Kecemasan HSA kini sedang melalui fasa penambahbaikan. – MalaysiaGazette















