Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan beberapa sesi bilateral dan mempengerusikan beberapa sidang untuk menutup Kepengerusian ASEAN 2025 pada hari ini.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, ia melibatkan Sidang Kemuncak ASEAN–China ke-28, Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-New Zealand  dan Sidang Kemuncak ASEAN-Australia kelima.

Menurutnya, sidang tersebut akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi, perdagangan dan pembangunan mampan dan antara kemuncaknya ialah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 yang memperkukuh hubungan ekonomi serantau.

“Sidang kemuncak hari ini juga akan diakhiri dengan Majlis Penutupan Rasmi dan sesi penyerahan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina.

“Dengan kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini, Malaysia telah menunaikan amanah sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tekad yang cemerlang.

“Kita telah membuktikan bahawa di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan,’ ASEAN bukan sahaja kekal relevan tetapi juga menjadi pemain utama dalam membentuk masa depan rantau Indo-Pasifik yang stabil, makmur dan adil,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Pejabat Perdana Menteri sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 secara dalam talian, di sini, hari ini.

Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Indonesia, Prabowo Subianto pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OKTOBER 2025.

Tunku Nashrul menambah, perjalanan panjang Kepengerusian Malaysia akan sampai ke kemuncaknya pada hari ini.

Kata beliau, setelah dua hari Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berlangsung, pelbagai perbincangan dan dialog yang konstruktif telah dilaksanakan, dan Malaysia telah mengangkat seni diplomasi serantau ke satu tahap yang lebih gemilang.

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, katanya, Malaysia telah berjaya memperkukuh kerjasama serantau dan memastikan ASEAN terus berdiri teguh, relevan dan dihormati di persada dunia.

“Hari kedua Sidang Kemuncak semalam menyaksikan lima sidang penting yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

“Dalam Sidang Kemuncak ASEAN–Republik Korea, Malaysia telah menggesa pengiktirafan Palestin dan menyambut baik Pelan Tindakan Kerjasama 2026–2030 yang akan memperkukuh hubungan serantau.

“Agenda ekonomi turut mendominasi sidang semalam melalui Sidang Kemuncak ASEAN+3 dan Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang menekankan kerjasama dalam ekonomi digital, tenaga bersih dan ketahanan rantaian bekalan, memastikan pertumbuhan inklusif di Asia Pasifik,” katanya.

Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Timor Leste, Kay Rala Xanana Gusmão selepas Timor-Leste secara rasmi menjadi anggota ke 11 ASEAN sambil diperhatikan ketua-ketua negara lain pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di KLCC. Foto MOHD ADZLAN, 25 OKTOBER 2025.

Tunku Nashrul memberitahu, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang diadakan turut mengumpulkan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, China, Rusia, Australia, Jepun, India dan New Zealand, yang telah diiktiraf sebagai platform utama untuk menangani isu-isu strategik.

“Lebih bermakna, sidang kemuncak ini dimulakan 20 tahun lepas di lokasi sama (KLCC), menandakan keberkesanan forum ini dalam memperkukuh kestabilan serantau.

“Ketika Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia telah memberikan penghargaan kepada PBB dalam usaha mencapai proses kedamaian di Palestin, dan akan terus menyokong segala usaha tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast