KUALA LUMPUR – Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) mengalu-alukan keputusan Amerika Syarikat untuk mengecualikan tarif ke atas beberapa produk Malaysia, termasuk minyak sawit, di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang baharu dimeterai.
Langkah ini satu perkembangan positif yang bakal mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat, khususnya dalam sektor minyak sawit yang mencatatkan prestasi kukuh sejak dua tahun kebelakangan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Belvinder Sron berkata, pengecualian tarif sifar bagi minyak sawit Malaysia merupakan peluang besar untuk meningkatkan daya saing negara dalam pasaran bernilai tinggi.
“Eksport minyak sawit Malaysia ke Amerika Syarikat telah mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam tempoh dua tahun lepas. Langkah ini akan terus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam pasaran yang berkembang pesat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MPOC, kerjasama perdagangan yang lebih mendalam dengan Amerika Syarikat bukan sahaja akan memberi manfaat kepada industri, malah turut menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui pengembangan sektor hiliran dan integrasi teknologi.
Bagi tempoh Januari hingga September 2025, eksport minyak sawit dan produk sawit Malaysia meningkat sebanyak 8.1 peratus kepada 346,000 tan metrik, berbanding 320,000 tan metrik dalam tempoh sama tahun lalu.
Pertumbuhan ini banyak disumbangkan oleh minyak sawit bertauliah, yang meningkat daripada 75,000 kepada 98,000 tan metrik.
Minyak sawit bertauliah dan palm stearin kini merangkumi 79 peratus daripada eksport Malaysia ke Amerika Syarikat, digunakan terutamanya dalam industri bernilai tinggi seperti bahan makanan khas dan produk penjagaan peribadi, yang mana alternatif lain adalah terhad.
Dalam usaha memastikan piawaian mampan dipatuhi, MPOC menegaskan, pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO 2.0) dan Sistem Pengurusan Sawit Pintar (SIMS) memainkan peranan penting dalam meningkatkan ketelusan dan kebolehkesanan rantaian bekalan.
Langkah ini membantu Malaysia memenuhi keperluan ketat pasaran utama seperti Amerika Syarikat, serta mengukuhkan kedudukan pengeksport tempatan dalam segmen pasaran premium.
Walaupun keputusan perdagangan dengan Amerika Syarikat dianggap sangat positif, MPOC menegaskan strategi kepelbagaian pasaran kekal menjadi keutamaan utama bagi memastikan daya tahan jangka panjang industri minyak sawit Malaysia.
“Kami akan terus memberi tumpuan kepada pasaran utama lain seperti Sub-Sahara Afrika, Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), serta ASEAN, yang menunjukkan pertumbuhan permintaan tinggi terhadap minyak boleh dimakan dan produk hiliran berasaskan sawit,” tambah Puan Sron.
MPOC yakin, dengan gabungan faktor seperti pengecualian tarif di Amerika Syarikat, peningkatan keupayaan hiliran, serta agenda kepelbagaian pasaran yang kukuh, Malaysia mampu mengekalkan momentum pertumbuhan eksport minyak sawit dan memperkukuh peranannya sebagai rakan perdagangan strategik di peringkat global. – MalaysiaGazette















