Abrar.

GEORGE TOWN – Pemuda Amanah Pulau Pinang menyifatkan pelantikan semula Dominic Lau sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang sebagai bukti gabungan itu tidak mempunyai hala tuju dan gagal membaca realiti politik negeri berkenaan.

Pengarah Komunikasinya, Abrar Sadiq turut mendakwa keputusan mengekalkan pemimpin daripada parti yang tidak memenangi sebarang kerusi di Pulau Pinang membuktikan suara akar umbi Pas dan Bersatu terus diketepikan oleh kepimpinan tertinggi PN.

Jelasnya, tindakan itu juga menunjukkan PN semakin lemah serta tidak mempunyai saingan baharu yang mampu mencabar kestabilan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Kami melihat pelantikan semula ini sebagai sesuatu yang ‘dialu-alukan’ kerana ia menggambarkan PN masih tiada arah dan gagal memahami sentimen rakyat negeri ini.

“Walaupun dibuat atas keputusan kepimpinan tertinggi, langkah mengekalkan individu daripada parti yang tidak mendapat mandat rakyat jelas menunjukkan PN ketandusan kepimpinan di peringkat negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, rakyat Pulau Pinang telah dua kali menolak PN melalui keputusan pilihan raya, sekali gus menolak politik sempit dan retorik kosong yang tidak membawa manfaat kepada masyarakat.

“Kami yakin rakyat akan terus bersama Kerajaan Perpaduan yang matang, harmoni dan konsisten membela semua golongan tanpa mengira latar belakang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast