Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Datuk Rafizi Ramli membuat eksperimen dengan membuka dua buah kedai iaitu Fleximart dan Kesum menggunakan konsep perusahaan sosial yang merupakan perkongsian di antara penyumbang modal dan pekerja.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Fleximart adalah sebuah kedai serbaneka yang memberi tumpuan kepada makanan siap di bawah RM5 dengan barangan runcit yang lain pada harga yang rendah.

Manakala Kesum pula adalah sebuah kedai makan value-meal atas konsep “asal Kenyang, Sedap dan Murah” bersempena daun kesum dan singkatan kepada kenyang, sedap dan murah.

Kesum akan menjual makanan sarapan, tengahari dan malam pada harga di bawah RM5.

Bekas Menteri Ekonomi itu menjelaskan, jika kedai berkenaan mencatatkan lebih keuntungan, gaji pekerja akan menjadi lebih tinggi dan keuntungan itu disumbangkan balik supaya harga kekal rendah.

“Saya tidak tahu sama ada model yang julung kalinya dibuat untuk kedai-kedai ini akan berjaya. Niat saya ialah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda dan membantu orang ramai dengan menawarkan makanan dan barangan pada harga yang lebih murah.

“Jika dua eksperimen sosial ini berjaya, kami ada peluang yang lebih baik untuk mengembangkannya kepada lebih banyak cawangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Justeru, beliau menjemput orang ramai untuk hadir ke pembukaan Fleximart pada hari Sabtu, 1 November 2025 jam 10 pagi di alamat 35, Jalan Plumbum U7/U, Seksyen 7, Shah Alam (sederet dengan Speedmart).

Manakala pembukaan Kesum adalah pada 8 November 2025 jam 9 pagi di alamat 25, Jalan Pandan Indah 1/20, Pandan Indah (sederet dengan KM Bistro). -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast