Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Kalendar akademik 2026 bagi sekolah kebangsaan dan sekolah bantuan kerajaan akan bermula pada 11 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026 bagi negeri Kumpulan A dan 12 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026 bagi negeri Kumpulan B.

Kumpula A meliputi negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Manakala Kumpulan B pula negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kalendar Akademik Tahun 2026 boleh dimuat turun daripada portal KPM
melalui pautan https://www.moe.gov.my/surat-siaran-kpm-bil-3-tahun2025-kalendar-akademi.

Menurutnya, kejayaan mengembalikan semula sesi persekolahan kepada bulan Januari dilakukan secara berperingkat dan tertib serta tanpa menganggu pengoperasian institusi pendidikan.

“Ia adalah hasil perancangan rapi dan komitmen tidak berbelah bahagi warga pendidikan di semua peringkat.

“Usaha ini menyerlahkan tekad KPM untuk memberi keutamaan kepada aspek kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia berkata, sesi baharu persekolahan akan dikembalikan pada bulan Januari  2026, berbanding bermula Mac yang dilaksanakan sejak tahun 2022 susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Pada November 2021, KPM mengumumkan sesi persekolahan untuk tahun berkenaan dilanjutkan sehingga Februari 2022, sekali gus menyaksikan sesi persekolahan bagi tahun baharu itu bermula pada bulan Mac. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast