KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak pernah berganjak daripada prinsip kemanusiaan dan keadilan – sama ada dalam menangani isu Gaza – mahupun krisis di Myanmar.
Tegas beliau, diplomasi sebenar bukan tentang menjerit di luar tetapi berbicara terus dengan kuasa besar untuk membawa hasil.
Kata beliau dalam nada ‘terganggu’ berikutan pelbagai kecaman terhadapnya, setiap kali pertemuan empat mata dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bukan sekadar protokol diplomatik tetapi peluang untuk menyuarakan pendirian Malaysia secara terus mengenai Gaza.
“Ada yang kritik bila kita adakan perjanjian atau pertemuan dengan AS. Mereka baca separuh, faham separuh. Tapi yang berbicara empat mata dengan Presiden Trump itu, saya sendiri.
”Jangan lupa. Kita menjerit di sini tapi orang mati di bom di Gaza. Caranya bagaimana? Maki Israel, marahkan AS sudah. Tapi ini kesempatan untuk kita jumpa sendiri hentikan serangan, hentikan pembunuhan.
“Kita ini asyik berpolitik, guna cheap political stunt, itu yang saya tidak puas hati sebenarnya,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penutup SIdang Kemuncak Asean ke-47 di sini hari ini.
Beliau menegaskan, meskipun ada yang menuduh Malaysia berlembut dengan kuasa besar hakikatnya beliau tidak pernah berdiam diri dalam isu Palestin.
“Setiap kali bertemu Trump, saya bangkitkan soal Gaza. Saya ucap terima kasih atas langkah awal tapi saya tekankan penyelesaian mesti menyeluruh menghormati hak rakyat Palestin dan menamatkan kekejaman. Kita boleh marah, kita boleh kecam Israel tapi akhirnya nyawa yang kita mahu selamatkan,” ujarnya tegas.
Anwar turut menempelak segelintir pihak yang mempersoalkan tindakannya mengadakan hubungan dengan pemimpin kontroversi seperti Trump.
“Diplomasi bukan semua kena jerit di luar. Dalam bilik tertutup, saya gunakan peluang itu untuk pertahankan rakyat Palestin. Siapa kata kita menyerah? Nak cari yang tegas seperti kita pun susah. Saya tak terpukau tapi saya guna ruang untuk bercakap demi Gaza,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia menggunakan platform antarabangsa termasuk Sidang Kemuncak ASEAN dan pertemuan dua hala untuk memastikan isu Palestin kekal di atas meja perbincangan global.
Dalam pada itu, dalam dalam isu Myanmar, Malaysia kekal berpegang kepada Konsensus Lima Perkara ASEAN walaupun terus menjalin hubungan diplomatik bagi memastikan proses perdamaian tidak terhenti.
“Dalam isu Myanmar, kita tidak berganjak daripada keputusan ASEAN dan syarat lima perkara itu. Saya sendiri bertemu dengan senior general Myanmar sebanyak dua kali di Bangkok dan Beijing dan Menteri Luar kita turut berjumpa dengan beberapa pemimpin mereka.
“Ini menunjukkan kita mengadakan hubungan baik tetapi tidak berganjak daripada prinsip,” katanya.
Hasil daripada pendekatan tersebut, situasi di Myanmar kini jauh lebih terkawal berbanding beberapa tahun lalu.
“Sejak kita campur tangan dan berunding, serangan besar-besaran telah dihentikan. Ada insiden kecil tetapi tidak seperti dulu kampung dibakar, ratusan ribu pelarian melarikan diri. Sekarang keadaannya jauh lebih baik walaupun belum sempurna,” jelasnya. – MalaysiaGazette

















Sembangg kari..