Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 NOVEMBER 2019
Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Seorang ahli parlimen di blok kerajaan menzahirkan kekesalan terhadap tindakan Putrajaya yang menandatangani perjanjian berhubung Jual Beli (SPA) gas asli cecair (LNG) dengan Amerika Syarikat (AS) semasa Presiden negara itu hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN, di ibu negara kelmarin.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) menyifatkan langkah yang diambil oleh kerajaan seperti satu penggadaian negara kepada AS.

“Bagaimana ini, Yang Amat Berhormat Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) apa sudah jadi?

“Beratus tahun negara kita mempertahankan melawan Belanda, Portugis, Inggeris, kita merdeka, tapi hari ini Trump datang yang telah menjahanamkan Gaza bumi Palestin, kita sambut mereka dan kita serahkan kekayaan kita.

“Ini pemunggahan harta negara miskin Malaysia kepada Amerika,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan rakyat, hari ini.

Hassan berkata, beliau tidak tahu dengan nasibnya selepas ini susulan kritikannya terhadap kerajaan berhubung perkara tersebut, namun beliau sememangnya tidak bersetuju dengan apa yang telah berlaku.

Pada masa sama beliau turut mempersoalkan bagaimana AS boleh mengenakan syarat kepada Malaysia supaya menjual nadir bumi negara kepada negara kuasa besar itu tanpa ada sesiapa pun yang boleh menghalang.

“Mana boleh dia (AS) mengenakan syarat sedemikian. Yang perunding-perunding ini menteri MITI, apa yang mereka rundingkan. Ini Penggadaian negara kita, ini memalukan,” tegasnya.

Beliau menggesa agar pihak yang berkaitan menjelaskan situasi yang telah berlaku di dalam Dewan Rakyat.

“Betullah, kita memang ada sopan santun, berbudi bahasa, tetapi, tanpa sebutir bom, tanpa senapang, tanpa apa-apa, Trump turun ke bawah ini, kita menyerahkan ekonomi kita, menyerahkan kekayaan negara kita.

“Satu trilion ringgit (perjanjian LNG) sedangkan setiap tahun kita berhempas pulas, Lembaga Hasil Dalam negeri kena kutip, Kastam kena kutip semuanya nanti kita bagi kepada Amerika.

“Petronas bergaduh dengan sesetengah negeri tak bayar royalti kepada Kelantan, tak bayar royalti kepada Terengganu, mungkin pada Sabah, mungkin pada Sarawak, kita bergaduh sesama sendiri, tapi berbilion kita bagi kepada Amerika, saya tidak bersetuju,” tegasnya.

Media sebelum ini melaporkan, Malaysia dan AS menandatangani satu perjanjian perdagangan timbal balik yang menyeluruh bertujuan untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, memperluas akses pasaran serta mempertingkat ketahanan rantaian bekalan.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semasa pertemuan dua hala di sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Rumah Putih, kedua-dua kerajaan menyatakan bahawa perjanjian itu akan memberikan para pengeksport kedua-dua negara akses yang belum pernah berlaku sebelum ini ke pasaran masing-masing dan akan memperkukuh hubungan ekonomi jangka panjang antara Malaysia dan AS, termasuk Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan 2004.

Di bawah perjanjian tersebut, Malaysia bersetuju untuk memberikan akses pasaran keutamaan yang ketara kepada eksport barangan perindustrian AS, termasuk bahan kimia, jentera dan peralatan elektrik, logam, serta kenderaan penumpang, selain eksport pertanian seperti tenusu, ayam dan beras. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kerajaan bodoh… sembang berdegar2.. tp seeah hasil kpd AS.. duit AS dapat dari Malaysia tu kemudian bagi kpd Israel utk bom kanak2 Palestin.. terbaik laaa

Comments are closed.