Tuan Ibrahim Tuan Man.

KUANTAN – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang menggantikan Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Pelantikan itu diputuskan mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (MPTN) malam tadi yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN.

“Diberikan amanah sebagai Pengerusi PN Pahang hasil Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional malam tadi.

“Insya-Allah kita terus perhebatkan dukungan dan keyakinan rakyat bagi Perikatan Nasional menerajui negeri Pahang,” kata Tuan Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan baharu Perikatan Nasional (PN) Pahang selepas beliau digugurkan daripada jawatan tersebut.

Menurut Saifuddin, pelantikan Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas dilihat sebagai satu langkah penyelarasan baharu dalam struktur kepimpinan PN Pahang.

“Saya telah menghubungi Datuk Seri Tuan Ibrahim atas pelantikan tersebut, dan menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinannya.

“Walaupun saya bukan lagi Pengerusi PN Pahang, saya ingin menawarkan agar Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota terus digunakan sebagai Pejabat Sekretariat Wakil Wakil Rakyat PN Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Saifuddin, beliau yakin pelantikan itu sebahagian proses penampilan wajah-wajah segar bagi memperkukuhkan PN Pahang dalam merealisasikan matlamat ‘PN Teraju Pahang’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast