Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Cadangan penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak wajar dipertimbangkan berdasarkan situasi semasa negara yang semakin terkesan dengan pelbagai isu berkaitan keselamatan, kebajikan dan perlindungan kanak-kanak.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan akan meneliti secara terperinci cadangan tersebut.

Ujarnya, antara yang perlu dipertimbangkan adalah mandat, struktur, perundangan dan implikasi kewangan, agar ia tidak bertindih dengan institusi sedia ada.

Jelas beliau, setakat ini fungsi berkaitan hak kanak-kanak sedang dilaksanakan oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), yang berperanan menasihati Kerajaan, memantau pelaksanaan Convention on the Rights of the Child (CRC) serta menyiasat aduan pelanggaran hak kanak-kanak.

“Justeru, Kerajaan berpendapat penambahbaikan kepada peranan dan autonomi Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah SUHAKAM perlu terus diperkukuh sebagai langkah segera, sambil kajian lanjut mengenai model institusi terbaik bagi perlindungan hak kanak-kanak diteruskan berasaskan amalan terbaik antarabangsa dan kesesuaian dengan konteks negara,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sesi Penggulungan Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 Peringkat Dasar, di Dewan Rakyat.

Tambah Azalina, jawatan Pesuruhjaya Kanak-Kanak dibuat berdasarkan seksyen 6A Akta Suhakam 1999 [Akta 597]secara tidak langsung bermaksud tanggungjawab berkaitan bukan sahaja untuk memberi tumpuan khusus kepada isu-kanak-kanak, tetapi juga mengambil kira kerangka tugas dan mandat secara menyeluruh, termasuk pemajuan hak asasi manusia secara holistik.

Terdahulu katanya, seramai 9.13 juta kanak-kanak bawah umur 18 tahun dalam negara.

Perkara ini membuktikan bahawa cadangan penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak ini amat tepat pada masanya dan bergerak seiring dengan visi Kerajaan supaya setiap negeri boleh ditempatkan seorang Pesuruhjaya Kanak-Kanak pada masa hadapan,” tambahnya.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail (Pakatan Harapan), sebelum ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast