KUALA LUMPUR – Hasil sayur menerusi Modul Penggiliran Tanaman di PERDA Food Valley bagi tahun ini sehingga September mencecah 7,131 tan metrik.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan ketara berbanding keseluruhan pengeluaran tahun 2024 iaitu sebanyak 5,101 tan metrik.
“Antara tanaman yang diusahakan ialah jagung, sayur-sayuran berbuah seperti cili, terung dan kacang panjang, serta sayur-sayuran daun seperti kangkung dan bayam,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Pasir Salak, Jamaluddin Yahya (Perikatan Nasional).
Projek Modul Penggiliran Tanaman di PERDA Food Valley, projek ini merupakan hasil kerjasama antara Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Pertanian (DOA).
Pelaksanaannya meliputi kawasan seluas 140 hektar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda dan TKPM Mayfield, Pulau Pinang.
“Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan kesuburan tanah, mengurangkan serangan perosak dan penyakit serta mengekalkan hasil pertanian yang stabil dan berkualiti tinggi.
“Penggiliran tanaman merupakan antara kaedah yang efektif bagi mengurangkan kebergantungan terhadap input kimia seperti racun perosak dan baja sintetik, sekali gus menyokong agenda pertanian mesra alam dan keterjaminan makanan negara,” tambahnya.
Mengulas lanjut Mohamad berkata, pelaksanaan penggiliran tanaman tidak hanya terhad di kawasan PERDA Food Valley.
Dalam masa yang sama katanya, DOA turut menggalakkan pelaksanaan amalan penggiliran tanaman di beberapa Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) sayuran seperti di TKPM Ulu Tiram di Johor dan TKPM Ulu Yam di Selangor, serta kepada petani sayuran di seluruh negara.
Jelasnya, program tersebut bertujuan memberi panduan kepada petani dalam melaksanakan penggiliran tanaman yang sesuai mengikut jenis tanah, iklim tempatan dan keperluan pasaran.
“Melalui program ini, khidmat nasihat turut diberikan kepada petani mengenai pemilihan tanaman giliran yang sesuai, contohnya menggilirkan tanaman sayur daun seperti sawi atau bayam dengan tanaman kekacang atau jagung manis.
“Amalan ini membantu mengekalkan kesuburan tanah, memusnahkan perumah kepada perosak dan memutuskan patogen penyakit tanaman, sekali gus menyokong pengeluaran hasil yang lebih mampan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette
















