KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa hasil siasatan berkenaan kegagalan berulang perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diumumkan segera kepada kepada awam.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, ia bagi menjamin ketelusan serta mengelakkan persepsi campur tangan atau perlindungan terhadap mana-mana pihak.
Menurut beliau, sekiranya terbukti berlaku pelanggaran syarat lesen atau kecuaian serius, tindakan kompaun maksimum atau penstrukturan semula pengurusan perlu dipertimbangkan.
Tegasnya, sebagai pengendali utama lapangan terbang negara, MAHB mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk memastikan perkhidmatan yang diberikan selamat, cekap dan berintegriti.
“Gangguan berulang bukan sahaja menjejaskan imej negara di mata pelancong antarabangsa, tetapi juga membebankan pengguna serta menimbulkan implikasi ekonomi yang serius,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, media melaporkan Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membuka kertas siasatan terhadap MAHB selaku pengendali perkhidmatan aerotrain.
Tindakan itu susulan kejadian terbaharu gangguan perkhidmatan tersebut pagi semalam yang menyebabkan para penumpang terpaksa meredah laluan pejalan kaki pada keadaan gelap sambil membawa bagasi.
Sementara itu, Jais berkata, isu kegagalan berulang aerotrain bukan sekadar masalah teknikal atau operasi semata-mata, tetapi perlu dilihat dari sudut tadbir urus, pengurusan kontrak serta ketelusan dalam perolehan dan penyelenggaraan.
Tambahnya, kegagalan memastikan sistem yang stabil selepas tempoh pelarasan menimbulkan persoalan sama ada terdapat kelemahan dalam proses penilaian vendor, pelantikan kontraktor atau pemantauan dalaman MAHB sendiri.
Dalam masa sama, beliau menyeru semua syarikat milik kerajaan (GLC) mengambil iktibar daripada kes itu yang mana reputasi dan kepercayaan rakyat bergantung kepada integriti dan ketelusan dalam menguruskan khazanah awam.
“Kegagalan memastikan standard ini hanya akan menjejaskan keyakinan pelabur serta mencalar aspirasi Malaysia sebagai negara berintegriti dan berdaya saing,” katanya. – MalaysiaGazette
















