Bangunan ikonik Battersea Power Station.

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak merancang untuk menjual pegangan dalam Projek Battersea di London.

Sebaliknya, kedua-dua organisasi ini kekal komited komited untuk merealisasikan potensi pelaburan secara menyeluruh, serta yakin dengan prospek dan potensi peningkatan nilainya.

Dalam satu kenyataan bersama, PNB dan KWSP berkata, projek Battersea yang dimiliki oleh konsortium diketuai Sime Darby Property Bhd dan S P Setia Bhd, kekal sebagai pelaburan sebagai pelaburan strategik bagi semua pemegang sahamnya.

“Oleh itu, tiada rancangan segera untuk keluar daripada pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Namun, kedua-duanya mengakui dari semasa ke semasa, ia menerima cadangan daripada pihak yang berminat untuk melabur dalam projek berkenaan, memandangkan Battersea Power Station adalah antara aset hartanah paling ikonik di dunia.

Jelasnya, sebagai pelabur, PNB dan KWSP akan menilai setiap cadangan dengan teliti, selaras dengan kriteria dan pertimbangan pelaburan, yang sentiasa berasaskan penciptaan nilai untuk manfaat pemegang unit PNB dan ahli KWSP.

“Oleh itu, biasanya apabila pelaburan mencapai tahap kematangan dan pulangan yang disasarkan, kami akan mempertimbangkan peluang untuk pengewangan atau pengenalan rakan strategik bagi menyokong keperluan modal serta pertumbuhan untuk masa hadapan,” tambah PNB dan KWSP.

Green Street baru-baru ini melaporkan, bangunan utama Battersea Power Stationyang menempatkan ibu pejabat Apple Inc di United Kingdom (UK) serta pusat beli-belah yang luas kini dimasukkan ke dalam senarai untuk dijual.

Bagaimanapun, proses penjualan itu tidak merangkumi apartmen di dalam stesen janakuasa atau di bangunan-bangunan berasingan yang dibangunkan di seluruh tapak yang masih dimiliki oleh konsortium asal.

Stesen janakuasa dan kawasan sekitarnya dibeli oleh konsortium yang membabitkan KWSP, S P Setia Bhd dan Sime Darby Bhd dengan harga sekitar £400 juta (RM2,248 juta) pada 2012 ketika mereka memulakan satu projek pembangunan semula terbesar di London.

Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan KWSP kemudian membeli elemen komersial projek itu, yang merangkumi pejabat dan kedai-kedai dalam bangunan stesen janakuasa utama, daripada konsortium yang lebih besar pada tahun 2019. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast