KUALA LUMPUR – Seorang lelaki Rohingya akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok susulan kes membunuh rakan senegaranya yang ditemui mati dengan kesan luka di kepala di Persiaran Ara Kiri, Bangsar minggu palu.
Proses pertuduhan terhadap suspek warga Myanmar berusia 27 tahun itu dijangka berlangsung sekitar jam 8.30 pagi.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook dilaporkan berkata, suspek telah direman tujuh hari sejak 23 Oktober lalu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, suspek yang juga gelandangan telah ditahan berhampiran Menara UOA Bangsar pada 22 Oktober lalu, kira-kira sembilan jam selepas mayat mangsa ditemui.
“Siasatan awal mendapati suspek dan mangsa berusia 40-an saling mengenali kira-kira sebulan lalu dan tinggal di bawah jejambat berhampiran lokasi kejadian.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu selepas berlaku perselisihan faham dengan mangsa sehingga menyebabkan mangsa jatuh ke dalam saluran air di belakang bangunan kedai,” katanya dalam kenyataan sebelum ini. – Malaysiagazette
Selisih faham punca gelandangan warga asing mati, lelaki Rohingya ditahan
















