KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa telah membuat terlalu banyak kompromi dalam pelbagai bidang susulan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (Reciprocal Trade Agreement) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang membuat dakwaan itu menegaskan, walaupun Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz telah memberikan pelbagai penjelasan mengenai kandungan perjanjian tersebut, namun ia tidak mampu menutup hakikat bahawa kedaulatan dasar negara kini berada dalam keadaan dipersoalkan.
“Malaysia boleh menyesuaikan dasar luar mengikut keadaan semasa, tetapi kerajaan mesti berpegang teguh kepada kedaulatan dan autonomi dasar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dominic mendakwa, tindakan kerajaan menandatangani perjanjian itu seolah-olah menunjukkan kesediaan untuk ‘mengorbankan’ syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memenuhi kehendak pihak tertentu.
“Adakah Malaysia Aviation Group (MAG), Khazanah Nasional, Petronas, Telekom Malaysia, Tenaga Nasional (TNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) langsung tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kerajaan? Tiada sebarang hubungan dengan rakyat?” soal beliau.
Beliau turut menempelak kenyataan Tengku Zafrul yang menyebut bahawa komitmen pembelian bernilai RM1 trilion oleh Malaysia kepada Amerika Syarikat bukan melibatkan dana kerajaan.
Menurutnya, kenyataan tersebut merupakan satu pembohongan terang-terangan dan percubaan menutup kebenaran kerana sukar untuk mempercayai mana-mana syarikat swasta mampu menyumbang dana sebesar itu kepada AS setiap tahun.
Dominic turut menggesa kerajaan menjelaskan secara telus kandungan perjanjian yang menyebut bahawa Malaysia perlu melabur AS$7 bilion (RM29.4 bilion) setiap tahun di Amerika Syarikat selama 10 tahun berturut-turut, menjadikan jumlah keseluruhan AS$70 bilion (RM294 bilion).
“Dari manakah sumber dana ini datang? Selain syarikat-syarikat yang disebutkan, syarikat swasta manakah lagi yang terlibat?” soalnya lagi.
Beliau menambah, Malaysia Airlines dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah Nasional yang juga milik penuh kerajaan, maka sebarang perbelanjaan syarikat itu tetap mempunyai kaitan langsung dengan kerajaan dan rakyat.
“Jika dana pembelian 30 pesawat Boeing bukan datang daripada kerajaan atau rakyat, dari mana pula sumbernya?” tegas beliau.
Sebagai contoh, katanya, Petronas membeli gas asli bernilai AS$3.4 bilion (RM14.4 bilion) setiap tahun, manakala Telekom Malaysia pula membeli produk dan perkhidmatan dari Amerika Syarikat bernilai AS$119 juta (RM500 juta) – kedua-duanya jelas merupakan entiti berkaitan kerajaan.
“Walaupun wang tersebut mungkin tidak dikeluarkan secara langsung daripada perbendaharaan kerajaan, namun ia tetap mempunyai hubungan tidak langsung dengan kerajaan kerana syarikat-syarikat berkenaan merupakan entiti yang berkait rapat dengan kerajaan,” katanya.
Dominic menegaskan, Gerakan boleh menerima penjelasan yang munasabah dan berasaskan logik, namun menolak sama sekali penjelasan yang diberikan oleh Tengku Zafrul berhubung perkara tersebut.
“Kami boleh menerima penjelasan yang munasabah dan berasaskan logik, tetapi tidak sama sekali boleh menerima penjelasan Tengku Zafrul,” katanya. – MalaysiaGazette
















