Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa.

KUALA LUMPUR – Lebih 1,300 individu ditahan dalam operasi besar-besaran membanteras kegiatan penipuan dalam talian di seluruh negara menerusi Operasi Mule National Scam Response Centre (Op Mule NSRC) yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia.

Pengarah JSJK, Datuk Rusdi Mohd Isa mendedahkan, seramai 1,303 suspek daripada 2,062 individu yang disenarai sebagai sasaran berjaya diberkas dalam tempoh enam hari operasi itu, antara 22 hingga 28 September lalu.

Tangkapan tertinggi direkodkan di Sarawak (272 orang), diikuti Sabah (200), Kuala Lumpur (137) dan Selangor (115).

“Hasil daripada tangkapan itu, sebanyak 778 kertas siasatan dibuka dan 270 kes telah pun dituduh di mahkamah, manakala 312 kes lagi masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini hari ini.

Rusdi menjelaskan, operasi tersebut memberi tumpuan kepada kegiatan akaun keldai yang digunakan dalam pelbagai bentuk penipuan, termasuk penipuan kewangan dan dalam talian, selain melibatkan sindiket warga asing.

Difahamkan kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 420, 424A, 424B dan 424C Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan berasingan, 820 individu turut diberkas dalam Operasi Merpati Khas 01/2025 yang dijalankan oleh Bahagian Risikan Operasi JSJK dari 2 hingga 12 September lalu.

Daripada jumlah itu, 475 lelaki dan 315 wanita ditahan bersama empat warga asing, kebanyakannya kerana memiliki akaun keldai yang digunakan untuk aktiviti penipuan e-dagang.

Sebanyak 30 suspek lain dipercayai terlibat secara langsung mengendalikan pusat panggilan (call centre) bagi tujuan penipuan dalam talian di pelbagai negeri.

“Keseluruhannya, 660 kertas siasatan dibuka dengan kerugian dianggarkan mencecah RM11.6 juta.

Daripada jumlah itu, 275 kes telah dituduh di mahkamah manakala selebihnya masih dalam proses siasatan,” jelas Rusdi.

Beliau menegaskan, JSJK akan terus mempergiat operasi bagi mengekang kegiatan akaun keldai dan memperkukuh tindakan terhadap sindiket penipuan yang semakin licik memperdaya mangsa dalam talian. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast