Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menyatakan keyakinannya terhadap penjelasan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Menurut beliau, penjelasan yang diberikan oleh Tengku Zafrul di Dewan Rakyat semalam berasaskan butiran sahih yang telah ditandatangani antara kedua-dua negara, bukan spekulasi seperti yang dibangkitkan sesetengah pihak.

“Saya lebih yakin dengan dia berbanding komen (Ahli Parlimen Pasir Gudang) Hassan Karim. Penjelasan Tengku Zafrul berasaskan kepada butiran yang ditandatangani,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul berkata, Malaysia berpegang teguh kepada prinsip berkecuali, pendekatan whole-of-government (keseluruhan negara) dan sentiasa memastikan kepentingan serta kedaulatan negara terus dilindungi dalam memuktamadkan rundingan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas dengan AS.

Tengku Zafrul menegaskan pasukan perunding negara tidak berganjak pendirian dalam perkara melibatkan isu “red line” (isu tidak boleh dikompromi) khususnya hak bumiputera, dasar perolehan kerajaan dan tuntutan liberalisasi ekuiti sepenuhnya bagi sektor strategik negara seperti tenaga dan telekomunikasi.

Justeru, katanya, dakwaan sesetengah pihak kononnya perjanjian itu sebagai ‘menjual negara’ amat tidak tepat sama sekali.

Dalam pada itu, Puad berkata, dalam isu perdagangan antarabangsa, rakyat memerlukan hujahan balas daripada pihak yang mempunyai kredibiliti tinggi dan memahami selok-belok perjanjian ekonomi.

“Kita perlukan hujahan balas daripada mereka yang lebih credible bukan Tun Faisal dan Isham Jalil,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan, Malaysia perlu berfikiran realistik apabila berurusan dengan kuasa ekonomi besar seperti Amerika Syarikat memandangkan negara ini tidak mempunyai kekuatan setara untuk mengenakan tindakan balas tarif.

“Hakikatnya kita berdagang dengan kuasa ekonomi besar macam USA. Menurunkan tarif daripada 25 peratus kepada 19 peratus sudah cukup baik.

“Apakah kita ada pilihan lain? Kita bukan macam China yang boleh balas tarif dengan tarif,” katanya.

Puad menjelaskan, langkah kerajaan menandatangani perjanjian perdagangan itu wajar dilihat dalam konteks kepentingan ekonomi jangka panjang, bukannya dari sudut politik sempit.

Beliau juga menegaskan, sebarang keputusan dasar luar atau ekonomi harus berdasarkan fakta dan data sebenar, bukan persepsi yang boleh mengelirukan rakyat.

“Saya ingin bertanya kepada Hassan Karim atau pembangkang, apakah kedudukan Malaysia lebih baik jika kita tidak tandatangani perjanjian itu?” soalnya.

Menurut beliau, perjanjian tersebut perlu dinilai secara objektif dan profesional bagi memastikan manfaat maksimum kepada negara dan rakyat, bukannya dijadikan bahan polemik politik semata-mata.

Sebelum ini, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Isham Jalil mempersoal rasional dan kemampuan kerajaan dalam menandatangani Perjanjian Perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat, yang didakwanya memberi komitmen kewangan terlalu besar kepada negara.

Menurut Isham, perjanjian tersebut diibaratkan sebagai “serah tengkuk” daripada rundingan perdagangan yang seimbang, apabila Malaysia dikatakan perlu menanggung pelbagai komitmen bernilai hampir AS$250 bilion (lebih RM1 trilion).

Malah Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim turut menempelak kerajaan dengan mendakwa langkah yang diambil oleh kerajaan seperti satu penggadaian negara kepada AS.

Pada masa sama beliau turut mempersoalkan bagaimana AS boleh mengenakan syarat kepada Malaysia supaya menjual nadir bumi negara kepada negara kuasa besar itu tanpa ada sesiapa pun yang boleh menghalang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast