Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Sebanyak 21 hospital dan institusi perubatan khas di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dikenal pasti untuk dinaik taraf sebagai Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence, CoE) dalam bidang kritikal masing-masing.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sejumlah RM100 juta diperuntuk bagi pelaksanaan inisiatif itu untuk tempoh 2025 hingga 2026.

“Objektifnya jelas iaitu melahirkan pusat rujukan bertaraf dunia yang dilengkapi kemudahan berteknologi tinggi, tenaga pakar berkemahiran serta keupayaan penyelidikan dan inovasi setanding negara maju.

“Penubuhan CoE ini bukan sahaja berkisar kepada pembangunan teknologi tetapi juga membentuk minda dan budaya kecemerlangan, agar setiap aspek rawatan, pemulihan, penyelidikan dan latihan di Malaysia mencapai piawaian antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Peralatan Centre of Excellence (CoE) Hospital Rehabilitasi Cheras di sini hari ini.

HRC menjadi antara institusi yang menerima status CoE berikutan kepakarannya dalam bidang perubatan rehabilitasi termasuk Rehabilitasi Neurologi dan Kecederaan Otak, Spinal dan Amputasi, Pediatrik dan Geriatrik serta Kardiopulmonari.

“HRC menerima peruntukan RM5.38 juta tahun ini untuk pelbagai alatan berteknologi tinggi seperti Lower Limb Exoskeletal Robotic Device, Wearable Hand Exoskeleton dan VR Exposure Therapy bagi memperkukuh rawatan fisioterapi, terapi cara kerja, terapi pertuturan serta psikologi klinikal,” katanya.

HRC juga menjadi hospital rintis untuk pengiktirafan World Stroke Organisation (WSO) Rehabilitation Certification, yang akan mengangkat nama Malaysia di pentas global.

“Saya yakin dengan kemudahan, kepakaran dan semangat pasukan yang ada, HRC bakal muncul sebagai Centre of Excellence Nasional dalam bidang rehabilitasi, dan kelak menjadi rujukan serantau di Asia Tenggara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast