PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menterinya, Anthony Loke berkata, SPRM mempunyai bidang kuasa penuh untuk menyiasat mana-mana pihak sekiranya terdapat laporan berkaitan, termasuk melibatkan projek Aerotrain yang berada di bawah tanggungjawab Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
“Saya tidak boleh masuk campur dalam urusan SPRM. Kalau mereka nak siasat mana-mana pihak, itu bidang kuasa mereka.
“Jika ada laporan, sudah tentu menjadi tanggungjawab SPRM untuk menyiasat pihak berkaitan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurut Anthony, kenyataan SPRM berhubung siasatan tersebut perlu dihormati dan pihaknya tidak akan membuat sebarang pendirian kerana laporan berkenaan telah dikemukakan kepada MAHB selaku pihak bertanggungjawab terhadap projek berkenaan.
“Saya tidak boleh campur tangan atau mengambil pendirian terhadap apa yang disebut SPRM kerana butiran laporan itu dikemukakan kepada MAHB. Itu sebahagian daripada garis akauntabiliti yang telah ditetapkan,” tambahnya.
Kontrak projek aerotrain telah dianugerahkan oleh MAHB manakala dari segi struktur pentadbiran, MAHB berada di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan sebagai regulator memandangkan mereka merupakan pemegang konsesi lapangan terbang melalui Operating Agreement.
“Perkhidmatan aerotrain ini juga tertakluk kepada Railway Operating Licence dan Railway Scheme yang dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Jadi, MOT ialah pengawal selia (regulator) kepada MAHB, manakala pemegang lesen ialah MAHB sendiri,” katanya.
Tambah beliau, setiap lapisan akauntabiliti telah ditetapkan dengan jelas bahawa kontraktor bertanggungjawab kepada MAHB, manakala MAHB pula bertanggungjawab kepada MOT.
“Sebarang laporan daripada kontraktor perlu dikemukakan kepada MAHB dan MAHB seterusnya wajib melaporkan kepada MOT.
“Apa-apa tindakan MOT juga hanya boleh diambil terhadap pemegang lesen iaitu MAHB,” katanya.
Semalam SPRM memberitahu pihaknya akan menjalankan siasatan projek Aerotrain di KLIA yang kerap berdepan gangguan, sekiranya wujud unsur-unsur rasuah dan penyelewengan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bagaimanapun mengesahkan, setakat ini tiada sebarang kertas siasatan dibuka oleh pegawai siasatan berhubung projek yang menelan belanja ratusan juta ringgit itu. – MalaysiaGazette
















