KUALA LUMPUR – Polis menemui petunjuk baru dalam usaha mengesan dan membawa balik ahli perniagaan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memanfaatkan hubungan dengan Polis Antarabangsa (Interpol) demi membawa balik individu tersebut.
“Kita menemui beberapa petunjuk baru. Saya sendiri sudah bertemu Ketua Interpol dan sememangnya notifikasi pihak berkuasa kita dalam pengetahuan Interpol.
“Pihak polis dalam kes ini menjalankan usaha mereka memanfaatkan hubungan Police To Police (P2P) dan jaringan Interpol. Itu adalah tertib proses bagi tujuan membawa balik mana-mana individu yang dikehendaki untuk berdepan dengan proses undang-undang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor – PH) sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdepan kesukaran untuk membawa pulang Adlan seperti yang dilaporkan.
Bagaimanapun, Saifuddin enggan mengulas lebih lanjut kerana tidak mahu mengganggu proses siasatan.
“Isunya sekarang keberadaannya. Saya boleh sebut bahawa kerjasama kita dengan pihak polis antarabangsa sedang berjalan. Saya tidak mahu jelaskan lebih terperinci sebab itu boleh mengganggu kerja-kerja siasatan kita tapi kita mengesan beberapa petunjuk baru yang membantu usaha kita mengesan dan membawa balik.
“Misalnya SPRM semalam membuat kenyataan kertas siasatan yang mereka buka sudah selesai maknanya selepas ini akan pergi ke Peguam Negara. Sama ada akan berakhir pendakwaan atau tidak biar Peguam Negara (tentukan),” katanya lagi.
Terdahulu, Saifuddin berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebelum ini telah membatalkan pasport antarabangsa individu berkenaan seperti yang diminta oleh SPRM.
Ia susulan RSN Rayer (Jelutong – PH) bertanya tentang status mengesan ahli perniagaan yang berdepan tuduhan pecah amanah.
Sebagai rekod, sebelum ini, dilaporkan lelaki itu yang telah melarikan diri lebih dua tahun lalu dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat. – MalaysiaGazette
















