MELAKA – Seramai 50,000 pengunjung dijangka hadir ke Pesta Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) 2025 (Pesko21) yang akan berlangsung dari 31 Oktober hingga 3 November di Tapak Pesta Konvo, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, Pesko21 diadakan sempena Majlis Konvokesyen UTeM ke-21 yang berlangsung dari 1 hingga 3 November bagi meraikan 3,278 graduan diploma, ijazah sarjana muda, dan doktor falsafah (PhD).
“Sebanyak 71 peratus daripada graduan kali ini merupakan lulusan aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Massila berkata, lebih 27 program menarik telah disusun sepanjang Pesko21 dengan pelbagai konsep yang menjadi tarikan kepada orang ramai.
“UTeM amat mengalu-alukan kehadiran rakyat Melaka dan pelancong untuk bersama-sama memeriahkan pesta ini serta mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang diatur,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif, berkata, Pesko21 kali ini menampilkan pelbagai pengisian yang dinantikan para pengunjung.
“Antara tarikan Pesko21 termasuklah UTeM E-Sport National Championship 2025, Permainan Tradisional Malaysia, SUWARA IPT 2025, Kids Fun Zone, TUAH Jaguh Joran, derma darah dan banyak lagi,” ujarnya.
Beliau juga menambah, pesta kali ini turut menampilkan barisan selebriti dan artis tanah air di bawah naungan SONY Music, sekaligus menjanjikan suasana yang lebih meriah untuk semua lapisan masyarakat. – MalaysiaGazette















