Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong menyatakan kekesalan dan memandang serius insiden melibatkan ugutan serta penghinaan Menteri Perumahan, dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming terhadap wartawan Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut beliau, tindakan menghina dan mengugut wartawan adalah tidak wajar, tidak beradab serta bercanggah dengan semangat Kerajaan Madani yang menekankan keterbukaan dan kebertanggungjawaban dalam urus tadbir.

“Sebagai seorang pemimpin, beliau sepatutnya menghormati peranan media sebagai rakan semak dan imbang dalam memastikan pentadbiran yang telus dan berintegriti.

“Wartawan menjalankan tanggungjawab profesional bagi mendapatkan penjelasan terhadap isu-isu berkepentingan awam, bukan untuk menyerang mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Kor Ming semasa majlis prapelancaran projek “I Lite U” yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, baru-baru ini.

Beliau mengulas kenyataan Kor Ming semasa majlis prapelancaran projek “I Lite U” yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pada sidang media itu, Kor Ming telah ditanya mengapa program tersebut menggunakan bahasa Inggeris, bukan Bahasa Kebangsaan.

Awalnya, beliau menjelaskan ia merupakan acara pelancongan, oleh itu penggunaan bahasa Inggeris lebih sesuai bagi menarik pelancong antarabangsa.

Kor Ming kemudian menyoal wartawan berkenaan berkaitan media tempatnya bekerja dan apabila wartaran itu memberitahu beliau dari Utusan Malaysia, menteri dengan wajah serius berkata akan menghubungi ketua pengarang akhbar berkenaan berhubung soalan yang diajukan itu.

Dalam video berkenaan, Kor Ming jelas berkata yang berbunyi “I will remember, I will call your chief editors” dan I will hold Utusan, I will call your chief editors”.

Mengulas lanjut, Choo Seong berkata, insiden itu menunjukkan sikap tidak konsisten apabila pihak yang dahulunya mendesak kebebasan media kini pula bertindak menekan suara wartawan setelah berada dalam kerajaan.

“Dahulu sebelum mendapat kuasa, kamu juga yang berguling-guling di atas jalan raya mendesak kerajaan mengamalkan kebebasan media dan kebebasan bersuara. Sekarang apabila sudah berkuasa, kamu mengamalkan dasar intimidasi dan menekan suara-suara yang mungkin tidak sealiran dengan anda,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa seorang pemimpin seharusnya menunjukkan ketenangan, kebijaksanaan dan rasa hormat terhadap pengamal media kerana kebebasan bertanya adalah asas kepada demokrasi yang matang.

“Pemimpin yang berani tidak gentar pada soalan, kerana kebenaran tidak memerlukan ugutan untuk dipertahankan,” tegasnya.

Katanya lagi, tindakan ugutan terhadap wartawan bukan sahaja merosakkan imej kerajaan, malah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengamal media yang berperanan penting menyampaikan maklumat kepada rakyat.

Choo Seong menyeru agar semua pihak, khususnya pemimpin kerajaan, menghormati prinsip kebebasan bersuara dan tidak menyalahgunakan kedudukan untuk menekan pihak media.

“Rakyat menilai setiap tindakan dan tutur kata pemimpin. Jangan sampai keangkuhan kuasa merosakkan kepercayaan rakyat terhadap komitmen kerajaan kepada demokrasi,” katanya. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast